Selasa, 17 Oktober 2017 | 6:45pm
PENJAGA gol skuad hoki kebangsaan, S Kumar terpaksa lupakan perayaan Deepavali demi tugas untuk negara.
PENJAGA gol skuad hoki kebangsaan, S Kumar terpaksa lupakan perayaan Deepavali demi tugas untuk negara.

Kumar terpaksa lupakan Deepavali

DHAKA: Penjaga gol skuad hoki kebangsaan, S Kumar, 37, sudah banyak berkorban dan kehebatannya menyelamatkan gawang ketika pertemuan penting banyak memastikan kejayaan pasukan negara.

Esok, apabila seluruh dunia meraikan Deepavali, Kumar akan bertugas menjaga gawang negara menangkis serangan Pakistan pada aksi round robin Piala Asia di Stadium Maulana Bhasani, Dhaka.

Perlawanan esok kali ketujuh berturut-turut buatnya meraikan Deepavali di perantauan, jauh dari keluarga dan sahabat yang berada di Tampin, Negeri Sembilan.Ditanya sama ada Kumar sempat ke kuil pada pagi Deepavali?

"Tidak. Saya tidak mempunyai masa kerana kami akan bermain menentang Pakistan pada jam 3 petang (waktu Dhaka) dan saya perlu bersedia untuk perlawanan itu.

"Ini kali ketujuh (berturut-turut) yang saya terlepas meraikan Deepavali bersama keluarga dan sahabat di Tampin kerana secara kebetulan ada banyak kejohanan di luar negara ketika perayaan itu."

Bagaimana keluarganya menerima itu?"

Kali ini berbeza, mereka benar-benar mahukan saya melupakan Piala Asia dan bertanya sama ada boleh atau tidak. Saya hanya berdiam diri kerana sedar pasukan ini perlukan saya juga," kata Kumar.

Kumar bermain buat pasukan kebangsaan sejak 1999 dan memperoleh pencapaian tertinggi ketika Piala Dunia 2014 Belanda dan dia juga mengintai peluang untuk beraksi di Piala Dunia di India tahun depan.

"Saya rasa seronok jika kita dapat melayakkan diri ke Olimpik Tokyo (2020) sebelum saya bersara selepas itu," katanya.

Berita Harian X