Selasa, 17 Oktober 2017 | 5:00pm
KETUA jurulatih hoki Malaysia, Stephen Van Huizen terkejut dan berang dengan format pertandingan pada saingan Piala Asia 2017.
KETUA jurulatih hoki Malaysia, Stephen Van Huizen terkejut dan berang dengan format pertandingan pada saingan Piala Asia 2017.

Van Huizen bengang format baharu Piala Asia

DHAKA: Ketua jurulatih hoki lelaki negara, Stephen van Huizen berang dengan tindakan Persekutuan Hoki Asia memperkenalkan format baharu pada saingan Piala Asia di sini.

Format kejohanan dalam kejohanan dan Van Huizen selaku Olimpian menegaskan dia serta skuad kendaliannya tidak pernah bermain mengikut format itu sebelum ini.

Secara ringkasnya, dua pasukan teratas dari Kumpulan A dan B akan mara ke pusingan round robin berbanding terus ke separuh akhir.

Malaysia, India, Pakistan dan Korea Selatan kini terpaksa bermain tiga lagi perlawanan di antara mereka dengan dua pasukan teratas akan mara ke final sementara dua lagi akan bersaing untuk perebutan pingat gangsa.

"Jika ditanya pendapat peribadi saya, format ini memenatkan kerana pasukan perlu bermain lebih perlawanan untuk mara ke final (tujuh secara keseluruhan).

"Saya lebih gemar bermain di separuh akhir dan memutuskan siapa yang akan ke final menerusi satu permainan - berbanding tiga lagi dalam 'satu lagi kejohanan'. Pasukan perlu lebih cergas dan kekal bebas daripada kecederaan untuk menjulang gelaran," kata Van Huizen.

Dalam round robin, Malaysia dijadualkan menentang Pakistan esok dan India pada hari berikutnya sebelum melengkapkan pusingan itu dengan menentang Korea Selatan sekali lagi, Sabtu ini.

"Biarpun dalam format Liga Dunia, anda hanya ada satu percubaan di peringkat suku akhir (keseluruhan lapan pasukan layak ke suku akhir).

"Dan dengan satu permainan yang baik di sini (suku akhir) dan pasukan ini sudah boleh bersaing perebutan pingat. Tetapi di Piala Asia, satu pasukan perlu bermain tiga perlawanan untuk mara ke pusingan pingat, malah perlu menentang pasukan yang sama sekali lagi."

Malaysia menewaskan Korea Selatan 2-1 dalam Kumpulan B dan mereka akan bermain sekali lagi pada Sabtu ini. Sama juga dengan India dan Pakistan dalam Kumpulan A.

Jadual round robin:

18 Oktober: Malaysia mln Pakistan (5ptg), India mln Korea Selatan (7.30pm)

19 Oktober: Korea Selatan mln Pakistan (5ptg), Malaysia mln India (7.30pm)

21 Oktober: Malaysia mln Korea Selatan (5ptg), India mln Pakistan (7.30pm)

*Waktu Malaysia

Berita Harian X