Isnin, 16 Oktober 2017 | 10:51pm
SKUAD Malaysia mengungguli Kumpulan A dan kini berada di landasan tepat untuk memburu pingat dalam perlawanan round robin dengan diundi bertemu Pakistan Rabu ini sebelum menentang India (Khamis) dan Korea Selatan (Sabtu). - Foto Konfederasi Hoki Malaysia
SKUAD Malaysia mengungguli Kumpulan A dan kini berada di landasan tepat untuk memburu pingat dalam perlawanan round robin dengan diundi bertemu Pakistan Rabu ini sebelum menentang India (Khamis) dan Korea Selatan (Sabtu). - Foto Konfederasi Hoki Malaysia

Pakistan lawan pertama Malaysia di round robin

KUALA LUMPUR: Malaysia menewaskan Oman 7-1 untuk mengekalkan rekod tanpa kalah dalam aksi Kumpulan A Piala Asia di Dhaka, Bangladesh, hari ini.

Kemenangan itu yang ke-13 ke atas Oman dan keputusan berkenaan mengatasi rekod kemenangan 6-1 ke atas lawan sama ketika Pusingan Dua Liga Dunia di venue yang sama, Mac lalu.

Dengan sembilan mata selepas tiga perlawanan, Malaysia mengungguli Kumpulan A dan kini berada di landasan tepat untuk memburu pingat dalam perlawanan round robin dengan mereka diundi bertemu Pakistan Rabu ini sebelum menentang India (Khamis) dan Korea Selatan (Sabtu).

"Kami bermain untuk mengelak kecederaan dan menguji pemain lain di bahagian tengah kerana ketiadaan Fitri (Shaari). Asasnya, perlawanan ini digunakan sebagai persiapan untuk pusingan round robin, di mana perlawanan sebenar bermula," kata jurulatih Malaysia, Stephen van Huizen.

Fitri yang juga pemain tengah terbaik negara terpaksa bergegas pulang ke tanah air kerana anaknya sakit dan dilihat mungkin terlepas aksi pusingan round robin.

Dengan ketiadaan Fitri, Van Huizen mungkin memasukkan anaknya sendiri, Joel sebagai ganti.

"Ya kami mungkin terlepas aksi Fitri di bahagian tengah dan saya cuba beberapa pemain di posisi berkenaan ketika menentang Oman dan Joel salah seorang daripadanya."

Kapten pasukan, Shukri Mutalib juga direhatkan dalam perlawanan itu dan hanya bermain dua minit pada baki perlawanan.

"Shukri masih mengalami kecederaan buku lali yang dialaminya di Kuala Lumpur, jadi kami perlu merehatkannya. Faizal juga mengadu mengalami kejang di bahagian betis.

"Keputusan perlawanan ini tidak membawa apa-apa makna, apa yang penting kami dapat mencuba pelbagai variasi untuk pusingan yang menjanjikan pingat nanti," kata Van Huizen.

AKSI pemain hoki negara ketika menentang Oman (jersi putih) dalam aksi Kumpulan A Piala Asia di Dhaka, Bangladesh. - Foto Konfederasi Hoki Malaysia
AKSI pemain hoki negara ketika menentang Oman (jersi putih) dalam aksi Kumpulan A Piala Asia di Dhaka, Bangladesh. - Foto Konfederasi Hoki Malaysia

Dalam perlawanan yang menyaksikan Malaysia mengambil langkah mengelak kecederaan itu, skuad kebangsaan bagaimanapun mampu membuka tirai jaringan pada minit ke-16 menerusi Faizal Shaari.

Tengku Ahmad Tajuddin meledak gol kedua pada minit ke-18 sebelum Shahril Saabah menambah derita lawan pada minit ke-20 menerusi pukulan sudut penalti.

Tengku Ahmad Tajuddin menambah gol pada minit ke-23 sebelum Faizal meledak jaringan keduanya selang empat minit kemudian dan Amirol Arshad meledak gol keenam pada minit ke-40.

Najmi Jazlan meledak gol ketujuh negara pada minit ke-42 dan gol sagu hati Oman dihasilkan Salmeen Al Nofali pada minit ke-25.

Jadual round robin:

18 Oktober

Malaysia mln Pakistan (5pm), India mln Korea Selatan (7.30pm)

19 Oktober

Korea Selatan mln Pakistan (5pm), Malaysia mln India (7.30pm)

21 Oktober

Malaysia mln Korea Selatan (5pm), India mln Pakistan (7.30pm).

Berita Harian X