Sabtu, 14 Oktober 2017 | 7:03pm
ATLET negara bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) serta Khairy Jamaluddin meriahkan sambutan Hari Sukan Negara 2017 di Kompleks Sukan Bukit Jalil, petang tadi. - Foto Luqman Hakim Zubir
ATLET negara bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) serta Khairy Jamaluddin meriahkan sambutan Hari Sukan Negara 2017 di Kompleks Sukan Bukit Jalil, petang tadi. - Foto Luqman Hakim Zubir

Atlet kebangsaan meriahkan Hari Sukan Negara

KUALA LUMPUR: Atlet negara yang beraksi pada temasya Sukan SEA dan Para ASEAN Kuala Lumpur tidak ketinggalan untuk turun padang memeriahkan Hari Sukan Negara (HSN) di Bandar Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil, hari ini.

Bagi atlet terjun negara, Cheong Jun Hoong, sambutan yang diberikan daripada orang ramai amat menggalakkan sambil menyatakan betapa rakyat negara ini mementingkan gaya kehidupan sihat.

Bagaimanapun pemenang pingat emas acara 1 meter papan anjal di KL2017 yang lalu berharap setiap individu di negara ini bersukan setiap hari dan tidak perlu menunggu Hari Sukan Negara untuk menjalankan aktiviti.

"Sambutan yang diberikan ini amat baik. Jika boleh turunlah padang setiap hari dan jangan tunggu Hari Sukan saja.

"Gerakkan badan, bersenam sedikit setiap hari pun tidak mengapa," katanya.

Sementara itu atlet lontar peluru negara Ziyad Zolkefli turut senada dengan Jun Hoong.

Katanya, setiap individu perlu terus bersukan untuk sihat.

Malah jadual waktunya sebagai seorang atlet juga padat dengan pelbagai aktiviti selain perlu menjalani latihan dua sesi setiap hari.

Antara atlet yang turut sama memeriahkan Hari Sukan Negara termasuk Abdul Latif Romly (lompat jauh), Ridzuan Puzi (olahraga), Jackie Wong (olahraga), Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik), Izzah Amzan, Koi Sie Yan (gimrama), Nur Dhabitah Sabri, Leong Mun Yee dan Jasmine Lai (terjun).

HSN di Kuala Lumpur berlangsung meriah dengan penyertaan lebih 15,000 peserta pelbagai peringkat umur.

Antara acara yang dianjurkan larian, berbasikal, zumba, senamrobik dan muay Thai.

Berlangsung di Dataran Keris, aktiviti dibahagikan kepada beberapa zon membabitkan pelbagai jenis sukan termasuk sukan tradisional.

Berita Harian X