Sabtu, 7 Oktober 2017 | 1:06pm
TYLER Duncan melakukan pukulan pada lubang ke-3 pusingan kedua Jelajah PGA Safeway Classic. - Foto AFP
TYLER Duncan melakukan pukulan pada lubang ke-3 pusingan kedua Jelajah PGA Safeway Classic. - Foto AFP

Golf: Duncan ungguli pusingan kedua Safeway Classic

SAN FRANCISCO: Pemain golf Amerika Syarikat (AS), Tyler Duncan melakukan enam bawah par 66 untuk mendahului dengan satu pukulan menuju dua pusingan terakhir Jelajah PGA Safeway Classic, hari ini.

Duncan mengharungi pusingan kedua yang tidak menentu namun eagle pada lubang kesembilan membantunya mengatasi catatan lemah tiga bogey berganda di lapangan Silverado Resort & Spa di Napa, California.

Terikat selaku pendahulu selepas pusingan pertama, Duncan melakukan keseluruhan 13 bawah par 131 mengatasi penyandang juara, Brendan Steele yang melakukan 67.

Kejohanan adalah aksi pembukaan Jelajah PGA bagi musim 2017-18.

Selepas berada di kedudukan ke-10 pada satu ketika, Duncan bangkit apabila melakukan tiga birdie pada sembilan lubang berikutnya sebelum memperoleh tiga bogey berganda di lubang ketiga, keempat dan kelima.

Dia kembali memperbaiki permainan dengan birdie pada lubang ketujuh dan kelapan sebelum melakukan eagle pada lubang terakhir par lima.

AKSI Brendan Steele pada pusingan kedua Jelajah PGA Safeway Classic. - Foto AFP
AKSI Brendan Steele pada pusingan kedua Jelajah PGA Safeway Classic. - Foto AFP

Steele turut melakukan bogey tetapi mengatasinya dengan enam birdie.

Chesson Hadley melakukan pukulan terbaik sepusingan, hari ini apabila melakukan 11 bawah par 61 yang menyaksikannya menghuni kedudukan ketiga dengan keseluruhan 133.

Hadley yang terkeluar daripada Jelajah PGA pada penghujung musim 2016 melakukan keseluruhan 10 birdie, satu bogey dan eagle meletakkannya selaku antara pencabar menuju pusingan ketiga.

Zac Blair yang melakukan 66 dan Tony Finau 65 terikat di tangga keempat selepas ketinggalan dua pukulan di belakang Hadley. - AFP

Berita Harian X