Rabu, 27 September 2017 | 12:23pm
PESERTA Larian IJM Allianz Duo Highway Challenge bersedia di garisan permulaan. - Foto IJM Allianz Duo Highway Challenge 2017
PESERTA Larian IJM Allianz Duo Highway Challenge bersedia di garisan permulaan. - Foto IJM Allianz Duo Highway Challenge 2017

9,000 sertai Larian IJM Allianz Duo Highway Challenge

PETALING JAYA: Lebih 9,000 peserta menyertai Larian IJM Allianz Duo Highway Challenge yang berlangsung dengan penuh meriah di Lebuhraya Baru Pantai (NPE), hujung minggu lalu.

Larian dimulakan dengan kategori 21 kilometer (km) pada jam 5.30 pagi disusuli pelepasan peserta kategori 10 km pada jam 6.30 pagi.

Peserta yang menyertai acara cabaran pertama di Lebuhraya BESRAYA, Julai lalu nyata lebih bersemangat pada acara kali ini memandangkan pemenang Duo Highway Challenge dipilih berdasarkan masa gabungan terpantas kedua-dua acara di Lebuhraya NPE serta BESRAYA.

Larian Duo Highway Challenge ini adalah kerjasama IJM Corporation Berhad (IJM) dan Allianz Malaysia Berhad (Allianz) selaku penaja utama, serta Besraya (M) Sdn Bhd dan New Pantai Expressway Sdn Bhd (anak syarikat IJM Corporation Berhad) selaku penaja lokasi.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan IJM Corporation Berhad, Datuk Soam Heng Choon kagum melihat peserta berlari di kedua-dua lebuh raya yang ditutup sepenuhnya dan ia kali pertama diadakan di Malaysia.

"Kami bersetuju mengadakan larian di lebuh raya bagi memberi kesedaran kepada pengguna mengenai jajaran kedua-dua lebuh raya ini dengan cara tersendiri.

"Ia adalah sebahagian dari tanggungjawab sosial korporat kami untuk membawa komuniti bersama-sama memupuk gaya hidup sihat menerusi penganjuran acara sukan seumpama ini.

PESERTA memulakan larian seawal jam 5.30 pagi. - Foto IJM Allianz Duo Highway Challenge 2017
PESERTA memulakan larian seawal jam 5.30 pagi. - Foto IJM Allianz Duo Highway Challenge 2017

"Jumlah peserta kali ini melepasi sasaran awal ditetapkan dan ia jelas menunjukkan satu kejayaan dalam memupuk kesedaran itu. Di IJM, kami percaya kehidupan yang sihat akan sentiasa menghasilkan produktiviti dan keputusan yang lebih baik," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Allianz Malaysia Berhad, Sean Wang berkata, berdasarkan kesungguhan peserta mencabar dalam kedua-dua acara dianjurkan ini, ia membuktikan objektif untuk menerapkan gaya hidup sihat sudah berjaya.

Katanya, Allianz akan sentiasa menyokong program sebegitu apatah lagi komuniti larian di Malaysia semakin meningkat dan aktif.

Bagi saingan kali ini, juara kategori lelaki terbuka menjadi milik S Poo Vasanthan manakala S Sheela juara bagi kategori wanita.

Berita Harian X