Khamis, 21 September 2017 | 6:48pm
PENOLONG jurulatih skuad hoki remaja negara, Nor Saiful Zaini tunggu kata putus Stephen Van Huizen. - Foto Hasriyasyah Sabudin
PENOLONG jurulatih skuad hoki remaja negara, Nor Saiful Zaini tunggu kata putus Stephen Van Huizen. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Malaysian Tigers mungkin lupakan khidmat Nik Muhammad

KUALA LUMPUR: Skuad Malaysian Tigers mungkin terpaksa melupakan khidmat Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi untuk saingan Piala Asia bulan depan selepas dia diperlukan oleh skuad hoki remaja negara bagi menghadapi kempen Piala Sultan Johor 2017 (SOJC) di Johor Bahru bermula 22 Oktober ini.

Ia sekali gus mencetuskan persoalan kerana kedua-dua pasukan kini dahagakan khidmat penyerang berusia 21 tahun itu yang memiliki sentuhan tajam di dalam kawasan D.

Bagaimanapun, penolong jurulatih skuad hoki remaja negara, Nor Saiful Zaini yakin masalah itu dapat diselesaikan selepas secara dasarnya mencapai kata putus bersama jurulatih skuad senior negara, Stephen Van Huizen mengenai kedudukan Nik Muhammad Aiman.

PEMAIN hoki negara, Nik Muhammad Aiman (kanan) alami kecederaan kemungkinan tersisih untuk saingan Piala Asia. - Foto Aziah Azmee
PEMAIN hoki negara, Nik Muhammad Aiman (kanan) alami kecederaan kemungkinan tersisih untuk saingan Piala Asia. - Foto Aziah Azmee

"Nik Muhammad Aiman sememangnya berada dalam pemerhatian kita. Apapun saya enggan mengulas lanjut kerana perlu menghormati Van Huizen. Kita tunggu selepas tamat fasa latihan ketiga pada 24 hingga 28 September ini.

"Secara dasarnya, Stephen sudah mengetahui selepas kami mengadakan perbincangan bersama Terry Walsh (Pengarah Teknikal Konfederasi Hoki Malaysia) baru-baru ini," katanya ketika dihubungi BH Sukan.

Selain Nik Muhammad Aiman yang sudah membuat 49 penampilan untuk negara, pasukan remaja yang rata-ratanya dibarisi bakal pemain skuad Projek 2020 turut mengintai tenaga dua lagi pelatih skuad kebangsaan iaitu penjaga gol, Md Zaimi Deris dan penyerang Norsyafiq Sumantri.

Namun, dua pemain itu dilihat tidak berdepan masalah untuk dilepaskan memandangkan mereka baharu saja diserap ke dalam skuad Malaysian Tigers selepas cemerlang membantu pasukan hoki dalam dewan meraih pingat emas di temasya Sukan SEA 2017.

Ketika dihubungi, Stephen berkata dia sedia mempertimbangkan permintaan skuad kendalian Wallace Tan itu sambil mengakui keputusan itu hanya akan diputuskan sebelum menamakan barisan pemain yang akan ke Piala Asia di Dhaka, Bangladesh bermula 11 hingga 22 Oktober ini.

"Sekiranya mereka memerlukan khidmat tiga pemain ini, kita tiada masalah untuk pertimbangkan tetapi saya belum bersedia mengesahkan sebab kita masih dalam proses pemilihan dan ada kemungkinan untuk berlaku kecederaan pemain.

"Apa yang pasti, ketiga-tiga pemain ini tidak akan dibenarkan beraksi serentak pada dua kejohanan terbabit. Mereka hanya akan beraksi salah satu saja, ini keputusan yang diputuskan sejak awal."

Di saingan SOJC, Malaysia yang turut diperkuatkan tiga pemain sedang meningkat Akhimullah Anuar Esook dan Shello Silverius bakal berdepan saingan Britain, Jepun, Amerika Syarikat, Australia (juara bertahan) dan India yang juga juara remaja dunia 2016.

Berita Harian X