Rabu, 20 September 2017 | 2:31pm
ATLET Para KL2017, Siti Noor Iasah Mohamad Ariffin (kiri) bersama suami, Muhammad Hafiz Abu Bakar ceria selepas meraih satu pingat emas dan perak menerusi acara masing-masing iaitu 400 meter (m) wanita T20 dan lontar peluru lelaki (5kg) F36/F37 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Para KL2017: Sokongan padu suami kunci Iasah menang dua emas

KUALA LUMPUR: Pasangan suami isteri, Siti Noor Iasah Mohamad Ariffin dan suaminya, Muhammad Hafiz Abu Bakar, bangga menghadiahkan satu pingat emas dan perak menerusi acara masing-masing iaitu 400 meter (m) wanita T20 sebentar tadi dan lontar peluru lelaki (5kg) F36/F37 di Sukan Para ASEAN 2017, semalam.

Siti Noor Iasah menang emas dalam acara 400m wanita T20 selepas mencatat masa 60.86s, manakala Hafiz pula meraih perak acara lontar peluru F36/F37 dengan mengutip mata 438 mata.

Kejayaan itu membolehkan Siti Iasah mempertahankan pingat emas dalam acara olahraga 400m wanita T20 yang dimenanginya sejak kejayaan sulung pada 2007.

AKSI Siti Noor Iasah Mohamad Ariffin berjaya menamatkan larian 400m kategori T20 di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

"Saya memang lega kerana berjaya mencapai sasarannya untuk menang dua pingat emas menerusi acara 400m sebentar tadi dan 800m wanita T20 semalam.

"Tambahan pula saingan hebat dari peserta lain terutama Indonesia dan Thailand serta rakan senegara sendiri yang berusia 16 tahun mungkin boleh pergi lebih jauh pada masa depan," kata Siti Noor Iasah.

Siti Noor Iasah juga mahu berkongsi emas dimenanginya bersama suami dan anaknya sulungnya Nur Iman Qaisarah Muhammad Hafiz serta keluarga terdekat.

"Apa yang istimewa kali ini saya berjaya tambah satu lagi pingat emas menerusi acara 800m (kelmarin) yang tidak pernah tandingi sebelumnya hanya pada mulanya sekadar mahu mencuba nasib.

"Selepas ini saya akan terus berlatih untuk menang pingat emas di Sukan Asia Jakarta 2018 dan Sukan Olimpik Tokyo 2020," katanya yang mula berkenalan dengan Hafiz sejak Sukan Para ASEAN 2009 dan mendirikan rumah tangga setahun kemudian selepas Sukan Asia Guanzou, China.

Sementara itu, Hafiz berkata beliau amat bangga dan gembira kerana kejayaan isterinya menang dua pingat emas untuk kontijen Malaysia.

Hafiz berkata kemenangan itu amat bermakna dan menjadi pengubat duka selepas dia hanya berjaya menang perak dalam acara lontar peluru (5kg) lelaki F36/F37 di sini, pagi semalam.

"Biarpun saya hanya menang pingat perak kerana saingan sengit diberikan peserta Indonesia yang menang emas tetapi saya tetap berterima kasih kepada isteri yang sentiasa memberikan sokongan," katanya yang juga pemenang pingat emas acara sama di Sukan SEA Singapura 2015 dengan catatan 9.6m.

Berita Harian X