Sabtu, 16 September 2017 | 6:21pm
PELUMBA basikal Para ASEAN Malaysia, Muhammad Hafiz Jamali ketika menjalani latihan bagi persedian awal pada temasya Sukan Para ASEAN 2017 di Velodrom Nasional Nilai, Seremban. - Foto Hazreen Mohamad

Para KL2017: Skuad berbasikal sasar 4 pingat hari pertama

NILAI: Malaysia dijangka mampu meraih sekurang-kurangnya empat pingat emas pada hari pertama temasya Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017) menerusi acara basikal trek yang akan berlangsung di Velodrom Nasional di Nilai, esok.

Harapan itu disandarkan kepada atlet prospek emas - Mohd Afiq Afify Rizan (acara tendem 1km), Mohd Najib Turano (pecut 4,000 meter C4 dan C5) manakala Muhammad Adi Raimie Amizazahan (pecut C1,C2 dan C3) serta satu lagi emas menerusi acara pecut 200 meter individu lelaki.

Jurulatih skuad negara, Mohd Johari Nayan berkata, Malaysia tidak akan menghadapi masalah besar merangkul pingat emas keempat-empat acara itu berdasarkan kedudukan ranking serta prestasi semasa pelumba negara ketika ini.

"Berdasarkan sasaran awal, kita hanya meletakkan empat pingat emas untuk atlet berbasikal lelaki, namun tidak mustahil jumlah itu bertambah jika pelumba basikal wanita mampu melakukan kejutan.

"Peluang untuk pelumba basikal wanita Malaysia dan negara lain masih terbuka kerana masing-masing tidak pernah menyertai temasya Sukan Para ASEAN, sebelum ini," katanya ketika ditemui BH di Velodrom Nasional di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd Johari berkata pihaknya sudah mengenal pasti dua pilot bagi menggantikan tempat jurumudi atlet acara basikal lebuh raya Para KL2017 yang cedera parah akibat dirempuh insiden di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), minggu lalu.

MUHAMMAD Hafiz Jamali ketika menjalani latihan bagi persedian awal pada temasya Sukan Para ASEAN 2017 di Velodrom Nasional Nilai, Seremban. - Foto Hazreen Mohamad

Bagaimanapun, Johari tidak boleh mendedahkan nama pengganti dua pilot berkenaan lebih awal kerana perlu mendapat pengesahan pihak terbabit.

"Malaysia boleh meraih emas dalam acara tendem lebuh raya jika semua pilot dan dua atlet para iaitu Khairul Nizam Mohd Ali dan Mohd Khairul Hazwan Wahab mampu menemui rentak kayuhan pada hari perlumbaan nanti," katanya.

Sebelum ini, skuad berbasikal negara menetapkan sasaran merangkul minimum 10 pingat emas iaitu enam daripada skuad berbasikal trek dan bakinya dalam acara lebuh raya.

Bagaimanapun, pada Khamis lalu, skuad berbasikal para negara yang menjalani latihan di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Kuala Selangor dirempuh kenderaan pacuan empat roda mengakibatkan empat atlet termasuk ketua jurulatih, Johari Nayan cedera.

Kemalangan itu mengakibatkan dua jurumudi iaitu Mohd Nor Rizuan dan Syafiq Suhaimy cedera parah manakala dua atlet para, Muhammad Khairul Nizam dan Mohd Hairul hanya cedera ringan.

Berita Harian X