Isnin, 4 September 2017 | 10:22pm
KETUA jurulatih hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah akui berhadapan tugas sukar di Kakamigahara. - Foto Owee Ah Chun
KETUA jurulatih hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah akui berhadapan tugas sukar di Kakamigahara. - Foto Owee Ah Chun

Laluan sukar Malaysian Tigress di Kakamigahara

KUALA LUMPUR: Skuad hoki wanita negara akan memulakan misi sukar tetapi bukan mustahil layak ke Piala Dunia.

Selepas gagal dalam Separuh Akhir Liga Dunia di Belgium di mana mereka sekadar di tempat ke-10, barisan Malaysian Tigress bimbingan Dharmaraj Abdullah sudah bersedia untuk menjuarai Piala Asia di Kakamigahara, Jepun, 28 Oktober hingga 5 November depan.

Dan pasukan lebih handal yang perlu diatasi ialah China yang berada di ranking ke-8 dunia, Korea Selatan (9), Jepun (11) dan India (12) manakala Malaysia (22) pernah menundukkan Kazakhstan (34), Thailand (31) dan Singapura sebelum ini.

SKUAD hoki wanita negara sudah bersedia hadapi cabaran Piala Asia di Kakamigahara pada 28 Oktober hingga 5 November depan.- Foto Owee Ah Chun
SKUAD hoki wanita negara sudah bersedia hadapi cabaran Piala Asia di Kakamigahara pada 28 Oktober hingga 5 November depan.- Foto Owee Ah Chun

Format pertandingan menyukarkan laluan Malaysia kerana lapan pasukan teratas akan dibahagikan kepada dua kumpulan, dengan dua pasukan teratas akan layak bertanding secara round-robin.

Daripada empat pasukan itu yang terpaksa mengharungi tiga perlawanan tambahan, hanya dua pasukan teratas layak ke pusingan akhir Piala Dunia.

Walaupun China, Korea Selatan dan Jepun sudahpun menggenggam tiket Piala Dunia di London tahun depan, Malaysia masih perlu muncul juara untuk melayakkan diri.

Sekiranya tempat teratas di Jepun itu diisi sama ada Jepun, Korea Selatan atau China, tiket itu akan diberikan kepada pasukan ranking teratas dalam Separuh Akhir Liga Dunia.

Pasukan lain yang sudahpun layak ke Piala Dunia adalah England, Argentina, Australia, Jerman, Itali, Belanda, New Zealand, Afrika Selatan, Sepanyol dan Amerika Syarikat.

"Memang sukar bersaing dalam format sebegitu, apatah lagi empat pasukan yang berada pada ranking lebih tinggi berbanding kita turut bertanding. Namun kami mahu menerima cabaran ini. Kita perlu memecah tembok lima teratas itu dan bersedia untuk aksi round-robin.

"Hanya itu saja cara untuk memperbaiki ranking kita," kata Dharmaraj.

Sebagai rekod, pasukan hoki wanita negara tidak pernah beraksi dalam Piala Dunia dan pencapaian terbaik dalam Piala Asia ialah ketika memenangi gangsa di Seoul 1985.

Namun kemampuan layak beraksi di Separuh Akhir Liga Dunia di bawah bimbingan Dharmaraj seharusnya memberi keyakinan kepada pemain negara.

Berita Harian X