Ahad, 3 September 2017 | 5:41pm
PEMAIN Malaysia, Fitri Saari (tengah) cuba menjaringkan gol ketika pertemuan menentang pasukan Myanmar dalam aksi akhir hoki lelaki Sukan SEA KL 2017 di Stadium Hoki Nasional, Bandar Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
PEMAIN Malaysia, Fitri Saari (tengah) cuba menjaringkan gol ketika pertemuan menentang pasukan Myanmar dalam aksi akhir hoki lelaki Sukan SEA KL 2017 di Stadium Hoki Nasional, Bandar Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Hoki Piala Asia: Misi perbaiki ranking

KUALA LUMPUR: Skuad Malaysian Tigers akan menggunakan pentas Hoki Piala Asia di Dhaka, Bangladesh, 11-22 Oktober ini, untuk memperbaiki ranking dunia.

Kini di tangga ke-12 dunia, Malaysia perlu mendaki sekurang-kurangnya satu anak tangga untuk mencerahkan peluang layak ke Sukan Olimpik 2020.

"Dengan penggunaan sistem Liga Dunia, kedudukan ranking adalah penting sebagai alat untuk melayakkan diri ke kejohanan besar dan disebabkan kita sudah layak ke Piala Dunia, kita perlu memperbaiki ranking ini di Dhaka nanti," kata jurulatih kebangsaan Stephen van Huizen.

Skuad negara menduduki tangga keempat dalam Separuh Akhr Liga Dunia di London dan layak ke Piala Dunia yang akan diadakan di India, tahun depan.

Contoh paling ketara ranking ini ialah Pakistan yang tetap layak ke Piala Dunia walaupun sekadar menduduki tangga ketujuh dalam kejohanan di London itu.

Anak didik Van Huizen layak ke Piala Dunia selepas semua empat semifinalis di Kejohanan Hoki Eropah (EuroHockey) sudah pun mengesahkan tempat masing-masing lebih awal di Piala Dunia, sekali gus membuka pintu buat pasukan tangga ketujuh Liga Dunia di Johannesburg dan London.

Pakistan mengesahkan tiket kerana mereka berada di tangga ke-14 dunia manakala Perancis (16) yang menduduki tempat ketujuh di Johannesburg terpaksa menanti keputusan tiga lagi kejohanan benua yang akan diadakan di Oceania (9-15 Oktober), Piala Asia (11-22 Oktober), dan Afrika (19-29 Oktober).

Malaysia terlepas tempat ke Olimpik Rio de Janeiro walaupun menduduki tempat keenam Liga Dunia di Belgium kerana New Zealand, yang menduduki tangga keenam Liga Dunia di Argentina, berada pada ranking lebih baik.

Pada Piala Asia nanti, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Korea Selatan, China dan Oman. Kumpulan A membabitkan Pakistan, India, Jepun dan Bangladesh.

"Kita menewaskan Korea Selatan (1-0), China (5-1) dan India (3-2) dalam Liga Dunia di London, jadi kita mempunyai peluang untuk memperbaiki kedudukan ranking kita di Dhaka nanti.

"Ini adalah untuk mencerahkan peluang kita layak ke Olimpik Tokyo, yang menjadi sasaran utama kita ketika ini," kata van Huizen.

Ketika ini, 13 pasukan sudah layak ke Piala Dunia iaitu Malaysia, India, Argentina, Australia, Belgium, Kanada, England, Jerman, Ireland, Belanda, Sepanyol, New Zealand dan Pakistan.

Tiga pasukan lagi akan ditentukan menjelang penghujung Oktober depan.

Piala Dunia menyaksikan 16 pasukan terbaik berentap manakala Olimpik hanya menyediakan 12 pasukan terbaik.

Berita Harian X