Sabtu, 26 Ogos 2017 | 6:26pm
ATLET Silat Negara, Mohd Al Jufferi Jamari meraikan kemenangan setelah berjaya mengalahkan lawannya pesilat Thailand, Kuibrohem Kubaha dalam acara separuh akhir Pencak Silat Tanding Match class E (65-70KG) sempena Sukan SEA KL2017 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. - Foto Zulfadhli Zulkifli.

KL2017: Al-Jufferi tepati ramalan ke final

KUALA LUMPUR: Juara silat dunia 2016, Mohd Al-Jufferi Jamari menepati ramalan apabila mara ke peringkat akhir, bersama dua lagi pesilat negara Muhammad Faizul M Nasir dan Razak Ghazali dalam kategori masing-masing.

Mohd Al-Jufferi melangkah ke peringkat akhir kategori 65-70 kilogram (kg) selepas menewaskan pesilat Thailand, Kuibrohem Kubaha dengan kiraan mata 5-0.

Pesaing dari Thailand itu melakukan serangan pantas, selain cuba menjatuhkan Mohd Al-Jufferi namun setiap cubaannya itu dipatahkan pesilat negara itu.

Mohd Al-Jufferi yang memenangi tiga emas Sukan SEA berturut-turut, bermula 2011 di Indonesia dan mengulanginya di Myanmar pada 2013, sebelum mencipta hatrik pada Sukan SEA 2015 di Singapura, ternyata sukar ditandingi lawannya.

Sementara itu, Muhammad Faizul turut mara ke pusingan akhir kategori 50-55kg selepas menewaskan pesilat Indonesia, Galang Tri Widya Putra, juga dengan kiraan mata 5-0.

Muhammad Faizul yang mendapat sokongan padu penyokong bijak membuat gerakan mengelirukan untuk memperdayakan lawan.

Kecemerlangan pesilat negara itu turut diikuti Razak yang menewaskan lawan dari Laos, Latsaphao Naukhit dengan kiraan mata 5-0 untuk ke peringkat akhir kategori 60-65kg.

Bagaimanapun, Mastafa Fitri Masjuri dan Nurul Annisa Mohd Sobri gagal ke peringkat akhir selepas tewas kepada lawan masing-masing dalam kategori 45-50kg lelaki dan wanita.

Terdahulu pasukan seni silat regu artistik lelaki membuka gelanggang hari ini dengan menghadiahkan pingat perak kepada kontinjen negara.

Pasukan yang dibarisi Mohd Faiz Abd Malek, Muhammad Syafiq Ibrahim dan Sazzlan Yuga itu menghimpun 445 mata selepas turut melakukan beberapa kesilapan.

Acara itu dimenangi Indonesia yang mengutip 466 mata manakala tempat ketiga dimenangi Singapura dengan 442 mata.

Berita Harian X