Jumaat, 25 Ogos 2017 | 7:32pm
SEBAHAGIAN atlet gimnastik artistik Sukan Sea KL2017 diraikan dalam majlis makan malam yang ditaja oleh Pharmaniaga di The Royale Chulan. - Foto Luqman Hakim Zubir
SEBAHAGIAN atlet gimnastik artistik Sukan Sea KL2017 diraikan dalam majlis makan malam yang ditaja oleh Pharmaniaga di The Royale Chulan. - Foto Luqman Hakim Zubir

KL2017: Skuad gimnastik berirama optimis dominasi emas

KUALA LUMPUR: Skuad gimnastik berirama negara melaungkan amaran mereka sudah bersedia untuk mendominasi acara itu apabila mensasarkan enam daripada lapan pingat yang dipertandingkan di temasya Sukan SEA 2017.

Keyakinan itu dilontarkan pengurus pasukan, Dr Farrah Hani Imran yang optimis mereka mampu mengutip sasaran enam pingat emas.

Ia berdasarkan komitmen dan prestasi konsisten yang ditunjukkan oleh anak buahnya sepanjang persiapan bagi menghadapi temasya dwitahunan itu.

"Kami sudah melakukan persiapan jangka panjang sejak tamat Sukan SEA 2015 lagi berbekalkan sokongan Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

"Atlet yang kami pilih adalah mereka yang terbaik selepas beberapa ujian saringan kerana kami perlu adil kepada semua pihak.

'Jadi, kami optimis mereka yang terpilih mampu membantu negara mencapai sasaran enam emas," katanya ketika ditemui BH Sukan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), sebentar tadi.

Acara gimnastik artistik akan membuka tirainya esok dengan pertandingan berlangsung selama tiga hari di Dewan 9 dan Dewan 10, MITEC.

Pencapaian skuad gimnastik berirama pada temasya di Singapura dua tahun lalu menyaksikan mereka unggul merangkul dua pingat emas daripada tiga acara yang dipertandingkan.

Bagaimanapun, bekas gimnas negara itu tetap mengingatkan anak buahnya supaya berwaspada memandangkan kesilapan kecil yang dilakukan oleh atlet mampu untuk memberi kesan terhadap keputusan akhir.

"Saya akui kami adalah pasukan pilihan tetapi ia tidak bermakna kami boleh mengambil mudah cabaran pasukan Vietnam, Thailand dan Singapura yang turut memiliki atlet yang bagus dalam acara ini.

"Apa yang penting, atlet saya perlu percaya dengan rakan sepasukan selain perlu mengelak daripada melakukan sebarang kesilapan mudah dalam saingan nanti," katanya.

Berita Harian X