Khamis, 24 Ogos 2017 | 7:16pm
ATLET Malaysia, Iskandar Alwi ketika beraksi dalam acara lompat galah pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Osman Adnan

KL2017: Teknik baharu dari Itali tidak menjadi

KUALA LUMPUR: Kesilapan teknik baharu yang digunakan di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di sini menyebabkan Iskandar Alwi sekadar menamatkan saingan acara lompat bergalah lelaki di tempat ketiga, tunduk kepada dua jagoan dari Thailand, Porranot Purahong (5.35m) dan Patsapong Amsam-Ang (5.30m).

Jelas keputusan itu mengecewakan jaguh negara ini walaupun dia mempertahankan pingat gangsa yang dimenangi di temasya sama di Singapura 2015, dengan catatan 5.05m, selain melakar rekod kebangsaan baharu, yang juga rekodnya sendiri selepas dua tahun mencuba.

Iskandar mencatatkan keputusan gangsa itu di percubaan pertama pada ketinggian 5.25m, mengatasi pencapaian lama 5.20m yang dilakar di Kejohanan Lompat Bergalah Antarabangsa, Korea Selatan pada 2015.

"Kalau ikutkan saya tidak berpuas hati dengan pingat gangsa tetapi saya kecewa dengan pencapaian saya. Saya sebenarnya cuba untuk memecahkan rekod Sukan SEA (milik Porranot Purahong - 5.35m), mungkin tiada rezeki saya kali ini. Perasaan gemuruh bertanding di tempat sendiri agak tinggi dan itu mungkin silap saya.

"Saya menggunakan teknik baharu selepas kembali daripada Itali walaupun saya tidak pernah menggunakan teknik itu di mana-mana kejohanan sebelum ini. Jadi saya kena terima keputusan ini," kata Iskandar yang turut menggunakan galah baharu ketika beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Acara lompat bergalah di KL2017 menyaksikan enam atlet mengambil bahagian dengan rekod Sukan SEA masih Purahong dengan ketinggian 5.30m, sementara rekod Asia milik Igor Potapovich dari Kazakhstan dengan ketinggian 5.92m.

Berita Harian X