Rabu, 23 Ogos 2017 | 11:23pm
PASUKAN gimnastik Malaysia bergambar selepas penyampaian pingat acara berpasukan artistik wanita Sukan SEA KL 2017 di MITEC. - Foto BERNAMA
PASUKAN gimnastik Malaysia bergambar selepas penyampaian pingat acara berpasukan artistik wanita Sukan SEA KL 2017 di MITEC. - Foto BERNAMA

KL2017: Eli tetap puas

KUALA LUMPUR: Pingat perak individu di Sukan SEA Indonesia 2011 masih bermain di fikiran Nur Eli Ellina Azmi.

Meskipun pencapaian itu tidak dapat diulangi di laman sendiri pada Sukan SEA 2017 (KL2017) ini, gimnas negara itu tetap berpuashati apabila mampu membantu skuad gimnastik artistik mempertahankan emas dalam acara berpasukan wanita.

Eli yang tidak berada di tahap kecergasan sebenar kerana mengalami kecederaan pergelangan kaki bulan lalu, berkata fokusnya kini tertumpu untuk menjalani rawatan pemulihan di Institut Sukan Negara (ISN) bagi mencerahkan peluangnya beraksi di Sukan Asia dan Sukan Komanwel, tahun depan.

"Pada mulanya saya cuba dapatkan pingat perak seperti di Palembang (dalam acara batang titian)... tetapi saya tidaklah terlalu kecewa kerana dapat membantu pasukan meraih emas (acara berpasukan) di sini," katanya yang ditemui selepas majlis makan malam tajaan Pharmaniaga selepas gimnastik artistik menutup tirainya, hari ini.

Eli bersama Farah Ann Abdul Hadi, Lavinia Raymund-Jayadev, Nur Azira Aziri, Tan Ing Yueh dan Tracie Ang mempertahankan kilauan emas gimnastik berpasukan yang diraih di Singapura, dua tahun lalu.

"Saya mengalami kecederaan dan bagi saya keputusan itu agak bagus dengan keadaan saya ketika ini," katanya.

"Buat masa ini, saya akan menjalani proses pemulihan kerana saya masih belum 100 peratus pulih.

"Selepas itu, barulah saya akan memikirkan perancangan akan datang," katanya yang masih belum pasti jangkaan masa sebenar proses rawatan pemulihannya itu.

Di temasya Sukan Komanwel Glasgow 2014, Eli bersama Farah Ann, Ing Yueh dan Tracie sekadar menduduki tangga kelapan daripada 14 negara yang bertanding dalam acara berpasukan.

Berita Harian X