Selasa, 22 Ogos 2017 | 12:35am
PASUKAN gimnastik Malaysia bersama pasukan Singapura dan Indonesia bergambar selepas penyampaian pingat acara berpasukan artistik wanita Sukan SEA KL 2017 di MITEC hari ini. - Foto BERNAMA
PASUKAN gimnastik Malaysia bersama pasukan Singapura dan Indonesia bergambar selepas penyampaian pingat acara berpasukan artistik wanita Sukan SEA KL 2017 di MITEC hari ini. - Foto BERNAMA

Skuad gimnastik artistik wanita gah pertahan emas

KUALA LUMPUR: Pasukan gimnastik artistik wanita negara memenangi pingat emas pertama dalam acara berpasukan di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), malam ini.

Kejayaan skuad yang dibarisi Nur Eli Ellina Azmi, Lavinia Michelle Raymund Jayadev, Tan Ing Yueh, Tracie Ang, Farah Ann Abdul Hadi dan Nur Azira Aziri itu membolehkan mereka mengulangi kejayaan di Singapura dua tahun lalu, kali ini di laman sendiri di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa (MITEC).

Skuad negara mengumpul 200.950 mata, mengatasi pesaing utama Singapura yang mencatat 190.050 menerusi Kelsie Yasmin Muir, Zeng Qiyan, Nadine Joy Nathan, Colette Chan Wan Xuan, Tan Sze En dan Togawa Mei.

Indonesia yang dibarisi Armartiani, Rifda Irfanaluthfi, Tazsa Miranda Devira dan Amalia Fauziah Nurun Nubuwah meraih gangsa dengan 186.850 mata.

Enam negara - Vietnam, Indonesia, Malaysia, Thailand, Filipina dan Singapura mengambil bahagian dalam acara ini, di mana gimnas mengutip mata menerusi empat rutin berbeza.

Jurulatih skuad negara, Ng Shu Wai berkata ia cukup istimewa buatnya kerana usaha gigih anak buahnya sepanjang dua tahun lalu membuahkan hasil.

GIMNAS Negara, Nur Azira Aziri melakukan disiplin Beam berpasukan artistik wanita Sukan Sea KL2017 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).- Foto BERNAMA
GIMNAS Negara, Nur Azira Aziri melakukan disiplin Beam berpasukan artistik wanita Sukan Sea KL2017 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).- Foto BERNAMA

FARAH ANN melakukan disiplin palang tidak sejajar Berpasukan Artistik Wanita Sukan SEA KL2017. - Foto BERNAMA
FARAH ANN melakukan disiplin palang tidak sejajar Berpasukan Artistik Wanita Sukan SEA KL2017. - Foto BERNAMA

"Kami cukup gemuruh kerana beberapa gimnas mengalami kecederaan serius, tetapi kami memberikan persembahan terbaik kami," katanya.

"Kami gembira dengan pencapaian kami malam ini dan berharap dapat meraih lebih banyak kejayaan dalam acara individu esok."

Sementara itu, Farah Ann berkata, dia rasa cukup teruja kerana pasukan benar-benar mahu mengekalkan pingat emas mereka dan membuatkan Malaysia bangga di laman sendiri.

"Kami lakukan ini bukan untuk diri sendiri tetapi demi negara," kata Farah Ann yang mengungguli kutipan mata dalam rutin palang tidak sejajar dengan 13.300 mata, dan rutin lantai dengan 12.600 mata. - Bernama

Berita Harian X