Sabtu, 19 Ogos 2017 | 7:37pm
AKSI Farah Ann Abdul Hadi untuk rutin "Beam" ketika pusingan akhir gimnastik artistik individu wanita, Sukan SEA 2015 di Kompleks Sukan Bishan, Singapura. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
AKSI Farah Ann Abdul Hadi untuk rutin "Beam" ketika pusingan akhir gimnastik artistik individu wanita, Sukan SEA 2015 di Kompleks Sukan Bishan, Singapura. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Hanya sasar dua emas gimnastik artistik

KUALA LUMPUR: Sukan gimnastik artistik bakal membuka tirainya esok dengan 12 pingat emas menjadi taruhan.

Selepas memenangi tiga emas pada Sukan SEA Singapura dua tahun lalu, Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) sekadar menyasarkan dua emas daripada kategori wanita untuk sukan gimnastik artistik.

Beberapa kecederaan yang menghantui gimnas senior negara seperti Tracie Ang dan Nur Eli Ellina berkemungkinan menjadi alasan buat badan induk itu meletakkan sasaran lebih rendah kali ini berbanding temasya lalu.

Ellina mengalami kecederaan pergelangan kaki ketika menjalani latihan di Brisbane, Australia dan sedang dalam proses pemulihan manakala Tracie berharap dapat mengurangkan kesakitan di bahagian belakangnya.

Taruhan terbaik negara sekali lagi terletak kepada Farah Ann Abdul Hadi yang memenangi dua emas di Singapura 2015, dalam acara senaman lantai dan berpasukan.

Pada temasya dua tahun lalu, skuad gimnastik artistik negara meraih tiga pingat emas, tiga perak dan tiga gangsa dengan emas disumbang oleh skuad wanita dalam acara berpasukan, Farah Ann dalam senaman lantai dan Ing Yueh (batang titian).

Berita Harian X