Jumaat, 18 Ogos 2017 | 5:12pm
JURULATIH ragbi, Mohd Saizul Hafifi Md Noor. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Ragbi 7s - misi tumbangkan Filipina

KUALA LUMPUR: Misi skuad ragbi 7 sebelah negara untuk mengulangi kejayaan mara ke final seperti dua tahun lalu bermula esok, apabila bakal turun beraksi tiga perlawanan awal yang dilabel cukup penting.

Pada saingan mengikut format round robin itu, barisan pemain bimbingan Mohd Saizul Hafifi Md Noor akan berdepan Kemboja, Singapura serta cabaran paling getir Filipina - lawan yang mengecewakan Malaysia pada aksi final di temasya Singapura 2015.

Di atas kertas, skuad negara sepatutnya tidak berdepan masalah mengatasi Kemboja tetapi untuk Singapura dan Filipina, Saizul tetap meletakkan harapan agar anak buahnya dapat menewaskan pemenang pingat gangsa serta juara bertahan itu.

PASUKAN ragbi bergambar bersama Ketua Jurulatih mereka, Mohd Saizul Hafifi Md Noor (belakang tiga dari kiri). - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

"Tiga perlawanan awal ini cukup penting kerana ia akan menentukan di mana kedudukan kami selepas itu.

"Saya berharap mereka mampu mencatat kemenangan untuk ketiga-tiga perlawanan itu termasuk dengan Filipina.

"Jika ini berlaku, maka tugas kita lebih mudah apabila turun baki dua perlawanan bertemu Thailand dan Indonesia (Ahad)," katanya.

Pada Ahad ini, skuad negara akan bertemu Thailand dan Indonesia sebelum perlawanan penentuan bagi tempat ketiga dan final akan berlangsung pada sebelah petang.

Mengulas mengenai Filipina, Saizul mengakui seteru utama mereka itu masih dilabel sebagai pasukan pilihan untuk memenangi pingat emas.

Namun dengan sasaran tinggi untuk merampas emas itu daripada Filipina, Saizul menggesa setiap pemainnya memberikan komitmen 100 peratus apabila turun beraksi.

"Saya difahamkan separuh daripada pemain yang membarisi pasukan Filipina adalah mereka yang beraksi dua tahun lalu di Singapura.

"Tapi kami juga mempunyai kekuatan yang seimbang dan ada kemampuan untuk menewaskan mereka," katanya.

Dua edisi tahun lalu di Singapura, Malaysia tewas 24-7 kepada Filipina sekali gus terpaksa berpuas hati dengan perak.

Berita Harian X