Sabtu, 12 Ogos 2017 | 10:52am
HIDEKI Matsuyama. - Foto EPA/Erik S Lesser
HIDEKI Matsuyama. - Foto EPA/Erik S Lesser

Matsuyama, Kisner kongsi pendahulu golf PGA

CHARLOTTE, Carolina Utara (AS): Hideki Matsuyama mencipta lima birdie daripada tujuh lubang terakhir untuk berkongsi kedudukan pendahulu bersama Kevin Kisner dalam saingan diganggu ribut pada pusingan kedua Kejuaraan PGA ke-99.

Pemain nombor tiga dunia itu yang tampil selepas kejayaan pada Kejuaraan Golf Dunia di Akron, minggu lalu tidak melakukan bogey untuk tujuh bawah par 64 bagi menyamai catatan Kisner dengan lapan bawah par 134 dalam 36 lubang di Quail Hollow pada kejohanan major terakhir tahun ini.

"Saya tidak tahu sama ada pemain lain sepatutnya bimbang atau tidak. Tetapi ini ialah pengalaman pertama saya mendahului kejuaraan major, atau terikat selaku pendahulu selepas 36 lubang," kata Matsuyama.

"Jadi, untuk mencipta pengalaman baharu, mungkin saya sedikit gementar.

"Selain itu saya tidak sabar untuk menghabiskan hujung minggu ini dan melihat bagaimana saya melakukannya."

Ribut merencatkan permainan hampir sejam 45 minit selepas Matsuyama melakukan tiga birdie berturut-turut bermula di lubang 12 tetapi dia mengambil kesempatan dalam keadaan basah apabila kembali menyambung permainan dan melakukan birdie pada par-5 lubang 15 dan par-3 lubang 17.

"Saya perlu katakan putt saya memang menyelamatkan saya," kata Matsuyama.

"Saya melakukan pukulan yang bagus dan ada kalanya tidak bagus. Secara keseluruhan putt menjadi kunci utama.

"Saya boleh membawa putt sejak beberapa minggu lalu. Saya juga menggunakan putter baharu. Itu mungkin banyak membantu." - AFP

Berita Harian X