Selasa, 8 Ogos 2017 | 3:41pm
KETUA pasukan ragbi negara, Zulkiflee Azmi (kiri) bersama Amir Amri Mohamad (dua dari kiri) dan jurulatih, Mohd Saizul Hafifi Md Noor pada sidang media ragbi lelaki di Hotel Renaissance. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Misi skuad ragbi ranap impian Filipina

KUALA LUMPUR: Skuad ragbi tujuh sebelah negara (7s) tidak gentar dengan ancaman pencabar terdekatnya, Filipina yang dilihat bakal menjadi penghalang terbesar untuk meraih kilauan emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Kapten pasukan, Zulkiflee Azmi berkata, meskipun menyedari kelebihan Filipina adalah menerusi saiz fizikal yang lebih besar khususnya pemain import mereka, namun skuad negara tetap memiliki 'senjata' yang mampu digunakan dalam usaha meranapkan impian Filipina merangkul pingat emas di laman sendiri.

"Cabaran kali ini adalah lebih hebat memandangkan kita turun sebagai tuan rumah. Untuk itu, kita akan menggunakan kelebihan sebagai tuan rumah itu sebagai motivasi kami untuk melakar kejayaan di hadapan penyokong sendiri.

"Fizikal pemain Filipina adalah lebih besar berbanding kita. Namun kelebihan kita adalah kita lebih tangkas dan memiliki kepantasan berbanding pasukan lawan.

"Jadi, kita perlu menggunakan corak permainan yang lebih pantas untuk mengatasi mereka selain mengurangkan sentuhan apabila bertemu di atas padang nanti," katanya ketika ditemui pada sidang media program "Kita Juara" di sini, semalam.

Sementara itu, pengurus pasukan, Amir Amri Mohamad menyifatkan skuad ragbi 7s pada edisi kali ini sebagai pasukan yang terbaik pernah dilahirkan sejak dia berkecimpung dalam arena ragbi di negara ini.

"Dengan persiapan yang rapi sejak mula dikumpulkan pada Julai tahun lalu, saya melihat banyak perkembangan positif selepas mereka mengharungi beberapa aksi antarabangsa sebagai persediaan mengharungi Sukan SEA 2017.

"Dengan semangat dan kesungguhan semua pemain, tidak mustahil kami dapat merangkul pingat emas meskipun sasaran utama yang diletakkan hanya sekadar perak," katanya.

Aksi ragbi 7s akan berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) selama dua hari bermula 19 Ogos ini.

Berita Harian X