Sabtu, 5 Ogos 2017 | 6:42pm
ATLET boling negara, Shalin Zulkifli (kanan) mahu menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk menghadiahkan sebanyak mungkin pingat buat negara. - Foto Rosli Rahmat
ATLET boling negara, Shalin Zulkifli (kanan) mahu menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk menghadiahkan sebanyak mungkin pingat buat negara. - Foto Rosli Rahmat

KL2017: Shalin sasar raih pingat sebanyak mungkin

PETALING JAYA: Pemain senior boling negara, Shalin Zulkifli mahu menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk menghadiahkan sebanyak mungkin pingat buat negara.

Bakal beraksi di Sukan SEA kali kelapan sejak kemunculan sulung pada temasya 1993 di Singapura, katanya, banyak perbezaan buat dirinya dalam penyertaan temasya kali ini dan Sukan SEA Kuala Lumpur 2001.

"Memang banyak bezanya. Kira-kira 16 tahun lalu venue perlawanan kami adalah di Pulau Pinang. Kami memang berlatih di sini jadi kami berasa lebih selesa di sini sekarang.

"Kami rasa bersemangat dan tak sabar lagi untuk menantikan bermulanya saingan" katanya yang membolot empat pingat emas ketika temasya 2001.

Shalin, 39, berkata fokus buat dirinya dan rakan sepasukan yang lain adalah dalam acara berpasukan kerana acara itu adalah 'tradisi' kemenangan yang sering diperoleh pemain negara di Sukan SEA.

"Setiap Sukan SEA memang kita menang acara pasukan dan begitu juga kali ini. Untuk diri sendiri pula saya berharap dapat menaiki podium dalam setiap acara yang disertai.

"Kami akan cuba untuk menunjukkan prestasi yang baik...Kami tahu banyak harapan diletakkan kepada kami. Dan kami memang berharap dapat sebanyak mungkin pingat," katanya.

Shalin berkata Singapura sekali lagi bakal menjadi pencabar utama buat pemain negara pada saingan kali ini yang mana menyaksikan acara boling bakal berlangsung pada 20 hingga 25 Ogos ini.

Pada temasya di Singapura dua tahun, pasukan wanita meraih dua emas melalui acara beregu (Sin Li Jane/Esther Cheah) dan berpasukan lima pemain (Shalin/Natasha Roslan/Shaidatul Afifah/Esther/Sin Li Jane/Siti Safiyah Amirah).

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X