Jumaat, 4 Ogos 2017 | 11:23am
Khairy (tiga dari kiri) bersama Roslan melihat 'coffee table book' pada majlis penyerahan tajaan sambil disaksikan pemain hoki negara (dari kiri) S Kumar dan Shahril Saabah. Hadir sama Tunku Imran dan Zolkples. - Foto Luqman Hakim Zubir
Khairy (tiga dari kiri) bersama Roslan melihat 'coffee table book' pada majlis penyerahan tajaan sambil disaksikan pemain hoki negara (dari kiri) S Kumar dan Shahril Saabah. Hadir sama Tunku Imran dan Zolkples. - Foto Luqman Hakim Zubir

TNB, NSTP terbit 'The Sticks'

KUALA LUMPUR: Detik-detik pembabitan pasukan hoki negara sejak 70 tahun lalu kini boleh disaksikan menerusi 'coffee table book' yang diberi tajuk The Sticks.

Buku yang merakamkan era pembabitan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam pembangunan hoki negara di era Central Electricity Board atau CED diterbitkan dengan kerjasama The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP).

Buku itu mengisahkan sejarah dan usaha-usaha diambil TNB dalam pembangunan sukan hoki di negara ini.

Ia dilancarkan secara rasmi pada Majlis Penyerahan Tajaan Korporat TNB sebagai penaja emas untuk Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (Kl2017) di TNB, semalam.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Sukan SEA ke-29 dan Para ASEAN Malaysia ke-9 (MASOC), Datuk Seri Zolkples Embong.

Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman ketika berucap pada majlis itu merakamkan jutaan terima kasih kepada Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (NSTP), Datuk Abdul Jalil Hamid.

"Sempena majlis ini kita merakamkan detik pembabitan TNB dalam hoki yang bermula di Era Electricity Board (CEB) sejak hampir 70 tahun lalu.

"Buku ini diterbitkan dengan kerjasama NST, terima kasih Datuk Jalil," kata Roslan ketika berucap pada majlis berkenaan yang turut dihadiri bekas pemain kebangsaan dan skuad lelaki kebangsaan yang layak secara merit ke Piala Dunia Hoki Lelaki 2018 di India.

Roslan yang ditemui selepas majlis itu berkata buku itu menceritakan latar belakang, sejarah serta pembabitan TNB dalam sukan hoki sejak kian lama.

"Ia menceritakan mengenai pasukan kebangsaan, anggota kerja TNB yang menyumbang kepada nama hoki di peringkat antarabangsa dan pembangunan hoki masa kini.

"Ia akan diletakkan di perpustakaan dan badan kerajaan kerana kita bukan hendak mencari keuntungan namun jika bila ada keperluan kita boleh mencetaknya semula," katanya.

Berita Harian X