Rabu, 2 Ogos 2017 | 9:41am
LEGENDA pecut Jamaica, Usain Bolt. - Foto fail AFP
LEGENDA pecut Jamaica, Usain Bolt. - Foto fail AFP

Bolt bersedia pertahan gelaran dunia 100m

LONDON: Legenda pecut Jamaica, Usain Bolt melabelkan dirinya sebagai bukan pilihan ketika dia akan menamatkan karier gemilang dalam acara trek individu dengan mempertahankan gelaran dunia 100 meter minggu ini.

"Itu apa yang terus saya baca dan apa yang dimaklumkan pasukan kepada saya, jadi saya perlu buktikan mengenai diri saya sekali lagi," kata pelari berusia 30 tahun itu dengan memberikan amaran untuk mempertahankan mahkota acara riben biru di Kejohanan Dunia IAAF.

Bolt memulakan musim ini dengan aksi yang tidak menjadi, berlari dengan catatan 10s ++ sebelum akhirnya menemui rentak di Liga Berlian Monaco.

"Perlumbaan terakhir saya berlari 9.95s, yang menunjukkan saya berada di laluan yang betul," katanya.

"Ia adalah kejohanan dan dua pusingan selalu membantu saya. Saya banyak kali berada di sini. Sudah tiba masanya, jadi mari pergi!".

Tambahnya: "Usain Bolt sudah bersara tanpa kalah dalam acara individu, tidak dikalahkan, tidak dapat dihalang - untuk saya ia akan menjadi tajuk terbaik!.

"Jika saya muncul di dalam kejohanan anda tahu saya benar-benar yakin dan bersedia untuk pergi, dan jurulatih, saya sudah bersedia untuk pergi."

Bolt enggan mendedahkan siapa akan menjadi pencabar terdekat untuk 100m dengan sesi saringan pada Jumaat sebelum separuh akhir dan final pada Sabtu di stadium sama, di timur London yang menyaksikan dia memenangi tiga emas pada Sukan Olimpik 2012.

"Tujuh orang akan bersaing untuk menewaskan saya dalam perlumbaan, mereka adalah pesaing terbesar," katanya.

Bolt sudah mendominasi acara pecut sejak meraih dua pingat emas individu di Olimpik Beijing pada 2008 dan terus memenangi enam emas Olimpik dan juga mencipta 11 gelaran dunia.

Dia juga memegang rekod dunia 9.58s dan 19.19s dalam 100 dan 200m, kedua-duanya adalah kemenangan dunia di Berlin pada 2009.

"Saya mahu berbual dengan anak-anak saya ketika mereka berusia 15 tahun, saya masih yang terbaik," katanya dalam nada bergurau. - AFP

Berita Harian X