Sabtu, 22 Julai 2017 | 7:19am

Bolt pecah badi 10 saat

MONACO: Usain Bolt berlari di bawah 10 saat buat kali pertama tahun ini bagi menguasai acara 100 meter Monaco Diamond League, awal pagi tadi.

Raja pecut Sukan Olimpik lapan kali itu kelihatan perlahan di blok permulaan, sama seperti ketika perlumbaan terakhirnya di Ostrava bulan lalu.

Pagi tadi, dia mencatat masa 9.95 saat (s) di hadapan pelari dari Amerika Syarikat (AS), Isiah Young manakala Akani Simbine dari Afrika Selatan di tempat ketiga, 10.02s.

Sebelum kejohanan membuka tirainya, pelari Jamaica itu terbang ke Jerman untuk mendapatkan rawatan bahagian belakang badan yang membelenggunya sejak beberapa tahun lalu.

Ia adalah penampilan terakhirnya sebelum Kejohanan Dunia di London bulan depan dan Bolt akan menyertai acara 100m dan 4x100 lari berganti-ganti.

"Ia bagus, saya bergerak dalam landasan tepat, masih banyak usaha yang perlu dilakukan," kata Bolt yang dijadual bersara selepas Kejohanan Dunia kelak.

"Saya sentiasa di sini untuk penyokong dan sudah tentu saya akan merindui kehangatan di sekitar trek. Perasaan yang bercampur baur - gembira dengan karier saya, sedih yang ini adalah penamatnya.

"Catatan masa bawah 10 saat sentiasa bagus. Ia satu perlumbaan yang menarik." - Reuters

Keputusan 100m lelaki
1. Usain Bolt (JAM) 9.95 saat (s)
2. Isiah Young (USA) 9.98s
3. Akani Simbine (RSA) 10.02s
4. Chijindu Ujah (GBR) 10.02s
5. Su Bingtian (CHN) 10.06s
6. Mike Rodgers (USA) 10.06s
7. Christopher Belcher (USA) 10.12s
8. Yunier Perez (CUB) 10.20s

USAIN Bolt bergambar dengan trofi Pencapaian Sepanjang Hayat selepas memenangi acara 100 meter di Stadium Louis II, Monaco, pagi tadi. - Foto Reuters
USAIN Bolt bergambar dengan trofi Pencapaian Sepanjang Hayat selepas memenangi acara 100 meter di Stadium Louis II, Monaco, pagi tadi. - Foto Reuters
Berita Harian X