Sabtu, 15 Julai 2017 | 4:20pm

Tiada kelibat Nauraj di Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR 29 APRIL 2016. GAMBAR fail, Atlet Lompat tinggi Negara, Nauraj Singh Randhawa memperagakan pingat emas dimenangi pada kejohanan olahraga terbuka Singapura ke-74 pada 29 April lalu. - Foto NSTP/Osman Adnan
KUALA LUMPUR 29 APRIL 2016. GAMBAR fail, Atlet Lompat tinggi Negara, Nauraj Singh Randhawa memperagakan pingat emas dimenangi pada kejohanan olahraga terbuka Singapura ke-74 pada 29 April lalu. - Foto NSTP/Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Jaguh lompat tinggi negara Nauraj Singh Randhawa sah menarik diri daripada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia yang dijadual bermula Isnin ini.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim, berkata keputusan itu dibuat bagi memastikan Nauraj dapat membuat persiapan rapi menjelang Kejohanan Dunia, Ogos ini.

"Hanya atlet yang disahkan mengalami kecederaan saja yang kita berikan kelonggaran untuk tidak menyertai saingan Pra Sukan SEA ini.

"Tetapi dalam kes Nauraj, dia ada meminta kelonggaran kerana terikat dengan komitmen latihan di London dalam usahanya menyesuaikan diri dengan keadaan di sana," katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri KOM di sini, sebentar tadi.

Nauraj muncul atlet pertama olahraga negara layak ke Kejohanan Dunia yang dijadualkan berlangsung di London, 4 hingga 13 Ogos nanti.

Berdasarkan prestasi semasa, dia dijangka tidak mempunyai masalah memburu hatrik di temasya Sukan SEA 2017 selepas mengungguli acara itu pada edisi 2013 dan 2015.

Malah, Nauraj adalah atlet olahraga tunggal dalam program Podium dan dia menjadi sandaran terbaik KOM di Sukan SEA kali ini.

Pada majlis berkenaan, KOM turut menyampaikan insentif keseluruhan sebanyak RM35,000 kepada beberapa atlet yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan tahun ini.

Antaranya jaguh lempar cakera negara, Muhammad Irfan Samsuddin, Jackie Wong (tukul besi), Rayzam Shah Wan Sofian (110m berpagar) dan kuartet 4x100m wanita.

Berita Harian X