Selasa, 7 Februari 2023 | 11:00pm
Yusoff berkata Liga M3 adalah liga kedua bola sepak di negara ini.
Yusoff berkata Liga M3 adalah liga kedua bola sepak di negara ini.

Pemain profesional tambah nilai Liga M3

KUALA LUMPUR: Pengerusi Liga Bolasepak Amatur (AFL), Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengakui kehadiran ramai pemain profesional akan menaikkan lagi nilai Liga M3 yang kini sudah berstatus separuh profesional.

Mohd Yusoff menjelaskan pihaknya menetapkan pasukan Liga M3 perlu membariskan minimum 10 pemain profesional untuk bersaing dalam Liga M3 bermula musim ini.

Malah, beliau berkata, ia sebagai salah satu langkah untuk mendidik pasukan Liga M3 ke arah profesional selain diberikan pendedahan dari segi pengurusan kelab.

"Liga M3 memang liga untuk menyediakan kelab ke peringkat atas, maknanya ia menjadi liga kedua di negara ini.

"Apabila Liga Perdana tak ada, itu sebab tahun ini kita jadikan Liga M3 sebagai liga separuh profesional. Ia bagi mendidik kelab supaya bersedia apabila masuk saingan profesional nanti, mereka tahu apa yang perlu dibuat.

"Jadi Liga M3 ini akan jadi lebih baik dan mungkin sebab itu berjaya menarik ramai pemain profesional untuk bermain dalam saingan kali ini.

"Kalau dulu Liga M3 ini dianggap seperti Piala FAM, tetapi tahun ini akan berbeza apabila ramai pemain profesional dan kita sudah namakan dia sebagai liga separuh profesional," katanya.

BH Sukan sebelum ini melaporkan bahawa saingan Liga M3 menjadi penyelamat karier kebanyakan pemain profesional apabila sukar mendapat 'kerja' bersama pasukan Liga Super selain Liga Perdana tidak dipertandingkan musim ini.

Dalam laporan akhbar ini semalam, bekas pemain Kuala Lumpur (KL) City, Fakrul Aiman Sidid dan pemerhati sukan tempatan, Mohd Sadek Mustafa menjejaskan tiada apa yang perlu dimalukan jika pemain profesional bermain dalam amatur atau separuh profesional.

Berita Harian X