KUALA LUMPUR: Pemain bola sepak profesional tidak perlu malu atau segan apabila terpaksa mengubah haluan daripada beraksi dalam saingan elit, Liga Super ke pertandingan berstatus amatur, Liga M3.
Bekas pemain Kuala Lumpur (KL) City, Fakrul Aiman Sidid menjelaskan bahawa Liga M3 tidak kurang hebatnya apabila ramai pemain profesional yang akan beraksi dalam saingan itu musim ini.
Justeru, dia yang menyertai pasukan Melaka FC berkata, tidak mustahil saingan liga amatur itu boleh mewujudkan persaingan sengit antara semua pasukan seperti di Liga Super.
Katanya, dia juga akan menamatkan karier di pentas Liga M3 selepas pernah beraksi bersama beberapa kelab profesional termasuk Negeri Sembilan dan FELDA United.
"Ia sama sahaja sebenarnya, mungkin beza M3 ini liga amatur. Tetapi ramai juga pemain profesional bermain di liga itu dan mungkin Liga Super ini lebih jadi tumpuan sebab ia liga elit di Malaysia.
"Bagi saya tiada masalah umur 34 tahun bermain di Liga M3, tak ada nak rasa segan atau sebagainya. Saya pun terkejut ramai pemain profesional yang ke M3 dan mungkin musim depan liga ini akan lebih kompetitif.
"Pendapatan memang berbeza dengan Liga Super, tapi Alhamdulillah cukup untuk tampung keluarga. Melaka FC pun sasar naik ke Liga Super, harap saya boleh bantu mereka walaupun jika mereka ke liga Super nanti saya tak main," katanya kepada
Semalam, BH Sukan melaporkan bahawa Liga M3 menjadi tempat bergantung atau penyelamat kebanyakan pemain profesional bagi meneruskan kerjaya bola sepak apabila gagal mendapat 'kerja' dengan pasukan Liga Super musim ini.
Ia susulan penstrukturan baharu Liga Malaysia (Liga M) 2023 yang tidak mempertandingkan Liga Perdana selain ditambah dengan empat pasukan yang tidak dapat meneruskan persaingan di pentas Liga Super musim ini.
Beberapa pemain termasuk bekas pemain kebangsaan, Syahrul Azwari Ibrahim, Syamim Yahya, S Veenod dan Hafiz Kamal antara pemain yang beraksi di Liga M3.
Sementara itu, pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustafa menyifatkan pemain senior atau sudah berusia tidak perlu malu untuk beraksi di Liga M3 demi kelangsungan hidup dan kerjaya mereka.
Beliau yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam berkata, ia bukan satu langkah terkebelakang, tetapi satu senario yang pemain terpaksa hadapi kerana perubahan dalam kancah liga bola sepak negara.
"Mereka perlu menunjukkan usaha dan profesional walaupun bermain di Liga M3. Mungkin kehadiran mereka merancakkan lagi kejohanan liga itu dengan adanya pemain berpengalaman.
"Mungkin juga Liga M3 menjadi tempat untuk pemain berusia menamatkan kerjaya, namun ia juga satu keadaan yang mana mengecilkan ruang pemain baharu atau muda yang sepatutnya berada di situ," katanya.