KUALA LUMPUR: Penghijrahan Luqman Hakim Shamsudin ke kelab Iceland, Njardvik FC membuktikan bahawa penyerang muda itu mendapat perhatian di benua Eropah.
Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Datuk Dollah Salleh menganggap penghijrahan itu juga sebagai satu pencapaian buat Luqman yang berpindah dari kelab Belgium, KV Kortrijk ke Iceland.
Beliau yang juga bekas pemain kebangsaan menjelaskan bahawa apa yang dilakukan Luqman harus menjadi motivasi kepada pemain muda yang lain untuk menimba pengalaman di luar negara.
"Memang itu satu pencapaian juga sebab dari Belgium pergi ke Iceland, maknanya kualiti dia orang pandang juga.
"Kita kalau boleh nak lebih ramai pemain tempatan dan muda berhijrah supaya dapat pengalaman luas di peringkat antarabangsa. Apabila balik ke negara sendiri, Insya-Allah dapat menaikkan lagi mutu bola sepak kita," kata Dollah.
Njardvik menerusi laman media sosial mereka secara rasmi mengumumkan Luqman menyertai kelab itu secara pinjaman dari Kortrijk selama semusim.
Luqman Hakim til liðs við Knattspyrnudeild Njarðvíkur að láni frá K.V. Kortrijk í Belgíu.
Lesa má nánar um málið hér: https://t.co/EXE1htGvpQ pic.twitter.com/pfikHfxaWT— NjarðvíkFC (@fcnjardvik) February 6, 2023
Luqman membuat penampilan sulung bersama Kortrijk pada 24 Oktober 2020 ketika bertemu Anderlecht selepas dibawa masuk sebagai pemain gantian.
Graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu beraksi bersama skuad senior Kortrijk musim ini pada perlawanan menentang KVC Westerlo pada Oktober lalu.
Sementara itu, seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Datuk Zainal Abidin Hassan menegaskan penghijrahan Luqman itu tetap satu perkembangan yang baik kerana dia masih kekal bermain di Eropah.
"Selagi dia masih dalam benua Eropah, ia satu perkara yang terbaik. Untuk Luqman saya ucapkan selamat maju jaya, jangan putus asa. Kita tahu berapa tinggi mutu bola sepak di sana," katanya.