KUALA LUMPUR: Cadangan untuk perlawanan Piala AFF berlangsung dalam kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dilihat sukar untuk direalisasikan.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan tempoh saingan Piala AFF yang panjang menyebabkan sukar mendapat ruang buat 'Piala Dunia Asia Tenggara' berlangsung dalam kalendar FIFA.
Beliau yang baharu dipilih sebagai Ahli Majlis badan induk bola sepak dunia berkata, salah satu jalan untuk cadangan terbabit boleh direalisasikan dengan memanjangkan kalendar FIFA pada masa akan datang.
"Kesan Piala AFF dalam kalendar FIFA bukan terlalu spesifik kerana terdapat cara lain adalah meminta badan induk itu supaya memanjangkan lagi tempoh kalendar.
"Kalendar FIFA bukan hanya membabitkan negara ASEAN dan Malaysia saja, tapi juga kepada ahli lain. Kita kena ingat akan datang ada perlawanan kelayakan Piala Asia dan Piala Dunia pada Oktober.
"Selain itu, kalendar FIFA bukan hanya digunakan untuk perlawanan persahabatan namun turut juga beri peluang kepada pasukan untuk mengadakan sesi latihan," katanya pada majlis kesyukuran selepas dipilih sebagai Ahli Majlis FIFA 2023-2027, di Wisma FAM, hari ini.
Sebelum ini, media Vietnam dan Thailand melaporkan bahawa Presiden FIFA, Gianni Infantino memberi bayangan bahawa Piala AFF boleh dimasukkan dalam kalendar badan induk itu.
Status saingan Piala AFF tidak berada dalam kalendar FIFA menyaksikan pasukan berdepan masalah untuk membariskan skuad terkuat kerana kelab tidak wajib untuk melepaskan pemain mereka.
Selain itu, Hamidin tidak menolak kemungkinan bahawa Malaysia mempunyai potensi untuk membida hak tuan rumah kejohanan Piala Dunia di peringkat bawah umur.
Beliau berkata, cita-cita untuk menyaksikan Malaysia menganjurkan kejohanan berprestij itu tetap ada selepas kali terakhir menjadi tuan rumah pada Piala Dunia B-20 edisi 1997.
"Kemungkinan untuk kita membida hak menjadi tuan rumah Piala Dunia di pelbagai peringkat umur sentiasa terbuka. Kita boleh lihat Indonesia menjadi penganjur Piala Dunia B-20 pada tahun ini.
"Kita (Malaysia) pun boleh buat kerana ia bagus untuk bola sepak dan kali terakhir pun kita menjadi tuan rumah adalah pada 1997 untuk Piala Dunia B-17.
"Namun, harus kita sedari kos untuk menjadi penganjur kejohanan akhir sangat tinggi dan kita perlukan sokongan penuh pihak kerajaan," katanya.