KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berharap lebih ramai wakil persatuan sukan di negara ini menjawat posisi di peringkat global seperti dilakukan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin.
Hamidin dipilih sebagai Ahli Majlis Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) iaitu badan tertinggi bola sepak dunia.
Justeru, Hannah berkata, aspek pengurusan dan pentadbiran dalam bidang sukan harus ditekankan bagi menjamin kemajuan serta melakar pencapaian sehingga ke peringkat tertinggi.
Katanya, pengurusan dan pentadbiran yang gagal akan memberi impak buruk dan boleh menjejaskan kemajuan sukan terbabit.
"Semestinya pengurusan dan pentadbiran sukan sangat penting kerana kalau tiada pengurusan dan pentadbiran yang baik, dana-dana yang dikutip, polisi dan hala tuju untuk sukan itu tidak boleh maju ke depan.
"Jadi saya berharap lebih banyak pengurusan mereka boleh bertanding secara sihat bukan saja di tanah air tetapi seperti Datuk Hamidin yang pergi ke peringkat antarabangsa," katanya kepada pemberita pada Majlis Kesyukuran sempena Hamidin dipilih sebagai Ahli Majlis FIFA di Wisma FAM di Kelana Jaya, hari ini.
Majlis kesyukuran itu berlangsung meriah dengan dihadiri ramai pemegang taruh bola sepak tempatan selain barisan bekas pemain dan legenda bola sepak negara termasuk Datuk Dollah Salleh, Datuk Zainal Abidin Hassan dan Khalid Ali.
Selain itu, Hannah berkata beliau melihat minat terhadap bola sepak semakin meningkat dalam kalangan generasi muda dan merancang untuk terus meraih lebih banyak sokongan.
"Kita akan pergiatkan lagi program skrin besar KBS (Kementerian Belia dan Sukan) untuk pastikan lebih ramai lagi dapat bersama mengikuti pertandingan bola sepak," katanya.