Selasa, 7 Februari 2023 | 3:34pm
TFC menafikan laporan portal yang mendakwa Akhyar (dua dari kiri) bakal sertai pasukan Penyu musim ini.
TFC menafikan laporan portal yang mendakwa Akhyar (dua dari kiri) bakal sertai pasukan Penyu musim ini.

Laporan Akhyar sertai TFC mengarut

KUALA TERENGGANU: "Laporan yang mengaitkan pemain sayap Johor Darul Ta'zim (JDT), Akhyar Rashid bakal bersama kelab Terengganu FC (TFC) musim ini adalah tidak betul dan mengarut," demikian menurut sumber daripada Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd.

Sumber itu berkata, setakat ini tiada sebarang perbincangan mahupun tawaran kepada pemain skuad kebangsaan kelahiran Kedah itu.

Malah katanya, pemain berusia 24 tahun itu tiada dalam perancangan pasukan dari Pantai Timur itu walaupun sebelum ini ketua jurulatih TFC, Tomislav Steinbrukner sedang 'mengintai' seorang pemain tempatan yang mampu beraksi baik di posisi tengah menyerang.

"Setakat ini pemain itu (Akhyar) tidak berada dalam perancangan pasukan, malah kita pun tidak pernah berbincang dengan pemain itu untuk membawanya ke Terengganu.

"Saya terkejut selepas membaca laporan sebuah portal yang mengaitkan pemain lincah itu bakal menyarung jersi TFC.

"Saya fikir ada pihak tertentu yang sengaja mengaitkan dia bakal beraksi bersama pasukan TFC musim ini, padahal kita tidak menawarkan kontrak kepadanya," jelas sumber TFC Sdn Bhd itu ketika dihubungi.

Terdahulu sebuah portal mendakwa pemain yang kerap memanaskan bangku simpanan pasukan gergasi Liga Malaysia (Liga M) itu bakal berhijrah bersama pasukan TFC musim ini bagi menggantikan bekas pemain sayap, Faisal Halim yang memilih Selangor FC sebagai destinasinya.

Ketika ditanya jika pemain itu berminat untuk menyarung jersi pasukan TFC, sumber itu bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut sebaliknya menjelaskan pemain itu bukan calon utama TFC.

Berita Harian X