Selasa, 7 Februari 2023 | 1:21pm
Sebuah suruhanjaya bebas dibentuk EPL bagi melihat dakwaan kesalahan dilakukan City. - AP
Sebuah suruhanjaya bebas dibentuk EPL bagi melihat dakwaan kesalahan dilakukan City. - AP

Ahli majlis Arsenal pengerusi panel siasat City

LONDON: Suruhanjaya bebas yang menyiasat dakwaan melanggar peraturan kewangan oleh Manchester City akan dipengerusikan ahli majlis Arsenal.

Murray Rosen KC akan melihat dakwaan sulit dan khusus itu yang boleh menyebabkan juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) terbabit dikenakan hukuman pengurangan mata malah disingkirkan daripada kejohanan.

Ketua Panel Perundangan EPL, Rosen akan memilih individu untuk bersama-samanya dalam badan bebas itu bagi membincangkan dakwaan kesalahan dilakukan City.

Arsenal dan City kini bertarung merebut gelaran EPL.

Arsenal tidak akan terbabit secara langsung dengan suruhanjaya itu yang akan menentukan masa depan City.

Kenyataan dikeluarkan EPL menyatakan 'jawatankuasa itu adalah bebas daripada EPL dan ahli kelab.'

"Ahli suruhanjaya itu akan dilantik oleh pengerusi berkecuali daripada Panel Perundangan EPL.

"Prosiding akan dijalankan di depan suruhanjaya mengikut Peraturan W.82 EPL akan dijalankan secara sulit dan didengar secara tertutup."

Jika City didapati bersalah, antara kemungkinan bakal dihadapi mereka ialah pengurangan mata atau disingkirkan daripada EPL - bagaimanapun ia mungkin akan mencecah bertahun lamanya untuk dimuktamadkan. - AGENSI

Berita Harian X