LONDON: Manchester United dikatakan menyenaraikan tiga daripada kesebelasan utama mereka untuk dijual menjelang penjualan besar-besaran pada musim panas di Old Trafford.
Menurut laporan, Red Devils hanya mampu mendapatkan pemain secara pinjaman pada Januari ketika Wout Weghorst dan Marcel Sabitzer menyertai kelab untuk tempoh singkat.
Menurut Manchester Evening News, United berkata bahawa Anthony Martial, Harry Maguire dan Alex Telles dibenarkan berpindah pada jendela perpindahan seterusnya.
Skuad kendalian Erik ten Hag mahu membuat perubahan menyeluruh pada perpindahan musim panas dan trio berkenaan antara yang boleh dijual.
United sudah lama mencari penyerang untuk tempoh yang lama dan ini difahamkan akan menjejaskan masa depan Martial di Old Trafford.
Pemain sayap Perancis itu melalui musim tidak konsisten di Manchester selepas menyertai kelab itu pada 2015 dengan dia hanya membuat sembilan penampilan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Pasangan pemain pertahanan, Maguire dan Telles akan dibenarkan berpindah kelab selepas gagal mendapat tempat dalam kesebelasan utama Ten Hag musim ini menurut MEN.
Kapten kelab, Maguire hanya membuat sembilan penampilan EPL musim ini dan namanya ketinggalan di belakang Lisandro Martinez dan Raphael Varane.
Inter Milan ada bertanya mengenai pertahanan tengah England berusia 29 tahun pada perpindahan bulan lalu tetapi pemain itu mahu menunggu hingga musim panas sebelum membuat keputusan mengenai masa depannya. - AGENSI