Selasa, 7 Februari 2023 | 12:02am
Skuad JDT menjalani aksi pramusim di Dubai.
Skuad JDT menjalani aksi pramusim di Dubai.

JDT gagal tandingi Zenit

KUALA LUMPUR: Juara Liga Super sembilan kali berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (JDT) menutup aksi pramusim mereka di Dubai dengan kekalahan apabila tunduk 0-3 kepada juara Liga Russia, Zenit St Petersburg, sebentar tadi.

Zenit tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan menerusi penyudah Rodrigo pada minit ke-10 sebelum seorang lagi pemain dari Brazil, Malcom menambah gol kedua, lima minit kemudian.

Pemain tengah, Danila Kozlov terus mengukuhkan kedudukan buat Zenit apabila meledak gol ketiga pada minit ke-31.

Safiq Rahim melepaskan peluang keemasan untuk meledak gol pertama JDT apabila gagal menyudahkan sepakan penalti pada minit ke-87, sekali gus Harimau Selatan terpaksa akur tewas 0-3.

JDT sebelum ini mengharungi empat perlawanan di Dubai dengan tewas 0-2 kepada FC Rostov pada aksi pertama sebelum menang 3-0 dan 1-0 ke atas Fursan Hispania dan Lokomotiv Moscow.

Sementara itu, satu lagi aksi persahabatan JDT ketika berdepan Levski Sofia ditamatkan lebih awal susulan pergaduhan pemain.

Berita Harian X