DOHA: Penyerang Brazil, Vinicius Jr berkata mereka tidak akan berhenti menari bagi meraikan gol di Piala Dunia kerana ia menunjukkan perasaan gembira yang menjadi sebahagian daripada budaya rakyat Brazil.
Brazil membelasah Korea Selatan 4-1 pada kelompok 16 terakhir Piala Dunia kelmarin menerusi persembahan bola sepak menakjubkan.
Sambutan tarian Brazil ketika jaringan berterusan dilakukan mencetuskan kritikan daripada pemerhati seperti bekas pemain tengah Manchester United, Roy Keane, yang merasakan ia 'tidak menghormati' seterusnya mencetuskan viral dalam perbincangan dalam talian.
"Pasti, ada yang suka merungut apabila melihat orang lain gembira dan kami orang Brazil sentiasa gembira, jadi ia akan sentiasa begitu," kata Vinicius dalam sidang akhbar semalam.
"Gol adalah paling penting dalam bola sepak, pada Piala Dunia ia lebih penting, jadi saat gembira itu bukan hanya buat kami pemain, tapi untuk seluruh negara.
"Kami masih ada banyak sambutan perlu diraikan, jadi kami perlu terus bermain baik, menang perlawanan dan terus ceria dalam proses itu.
"Kami perlu terus tenang dan fokus kerana lebih ramai orang bersama kami berbanding menentang kami."
Jurulatih Brazil yang sentiasa serius, Tite turut menyertai sambutan itu dengan meniru gaya 'tarian merpati' penyerang, Richarlison.
"Saya cuba menyesuaikan diri dengan perwatakan pemain," kata jurulatih berusia 61 tahun itu ketika ditanya pada sidang akhbar.
"Mereka sangat muda dan saya cuba menyesuaikan diri sedikit dengan cara mereka, dan sebahagian daripadanya ialah menari." - Reuters