Ahad, 4 Disember 2022 | 9:35am
Jurulatih Brazil, Tite pada sesi latihan pasukannya di Stadium Al Arabi SC, Doha. - Foto AFP
Jurulatih Brazil, Tite pada sesi latihan pasukannya di Stadium Al Arabi SC, Doha. - Foto AFP

Brazil waspada ancaman pemain Korea Selatan

DOHA: Pengurus Brazil, Tite berkata pertembungan pusingan 16 terakhir Piala Dunia Qatar 2022 dengan Korea Selatan pasti 'berbeza', berbanding kemenangan besar 5-1 pada aksi persahabatan di Seoul awal tahun ini dan pasukannya perlu 'berwaspada' untuk mengelak menjadi mangsa lawan.

Bercakap kepada wartawan selepas kekalahan 1-0 Brazil di tangan Cameroon, Tite berkata, pasukannya perlu berhati-hati dengan Korea Selatan susulan kemenangan mereka ke atas Portugal.

"Portugal kalah kepada Korea Selatan, Perancis tunduk di tangan Tunisia, Argentina pula tewas kepada Arab Saudi.

Pemain Korea Selatan meraikan kejayaan selepas mereka layak ke pusingan kalah mati ketika mengalahkan Portugal 2-1 di Stadium Education City, Doha. - Foto REUTERS
Pemain Korea Selatan meraikan kejayaan selepas mereka layak ke pusingan kalah mati ketika mengalahkan Portugal 2-1 di Stadium Education City, Doha. - Foto REUTERS

"Tiada siapa menang semua tiga perlawanan, saya fikir keputusan ini membuktikan segala-galanya.

"Mereka amat kuat dan perlawanan yang amat sukar, saya tidak fikir sebarang situasi sebelum ini menjadikannya mudah. Kami mesti berhati-hati," katanya.

Skuad Selecao mengalahkan Korea Selatan sekali tahun ini, membelasah lawan 5-1 pada satu perlawanan persahabatan di Stadium Piala Dunia Seoul, pada Jun lalu.

Bagaimanapun, Tite berkata, kini semuanya berbeza.

"Saya sedar banyak yang berbeza daripada aksi persahabatan Jun lalu. Kini kami perlu memikirkan mengenai pemain yang akan diturunkan menentang Korea."

Sementara itu, pemain Korea Selatan menegaskan kekalahan di tangan Brazil Jun lalu akan menjadi bekalan berguna apabila kedua-dua pasukan bertemu awal pagi Selasa ini.

Penjaga gol, Kim Seung-gyu berkata: "Sekalipun kami melepaskan banyak gol pada aksi persahabatan itu, kami bermain gaya bola sepak yang kami mahukan.

"Saya fikir pengalaman boleh membantu kami bersedia bagi perlawanan berikutnya."

Penjaring gol kemenangan ketika menentang Portugal, Hwang Hee-chan turut mempunyai pandangan sama.

"Hanya kerana kami bermain dengan Brazil, tidak semestinya bermakna kami gembira untuk berada di pusingan kalah mati. Kami mahu bertindak cemerlang dan menang demi penyokong kami." - AGENSI

Berita Harian X