Isnin, 28 November 2022 | 9:47pm
Pemain JDT, Arif Aiman Mohd Hanafi (kiri) merembat ke arah gawang Borussia Dortmund FC pada aksi persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi. JDT tewas 1-4 dengan Arif menjaringkan gol tunggal pasukannya. - Foto BERNAMA

JDT tewas kepada Dortmund aksi persahabatan

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta'zim (JDT) tewas 1-4 kepada kelab Bundesliga Jerman, Borussia Dortmund pada aksi persahabatan antarabangsa Siri Jelajah Asia BVB di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.

Ia adalah aksi kedua skuad Harimau Selatan menentang Dortmund selepas 2015, yang menyaksikan mereka tewas 1-6.

Tanpa menurunkan beberapa tonggak yang direhatkan selepas kejayaan memenangi Piala Malaysia, Sabtu lalu, skuad kendalian Hector Bidoglio berusaha mengimbangi corak permainan pantas anak didik Edin Terzic yang kerap menekan benteng skuad Harimau Selatan.

Hanya tempoh 10 minit permainan digunakan Dortmund untuk membuka tirai jaringan selepas bola rembatan Donyell Malen sempat di tampan penjaga gol, Farizal Marlias tapi Goktan Gurpuz pantas menyambar bola muntah dan merembat bola menerjah jaring.

Pemain JDT, Bergson Da Silva (kanan) diasak pemain Borussia Dortmund FC, Coulibaly (kiri) pada perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim hari ini. - Foto BERNAMA
Pemain JDT, Bergson Da Silva (kanan) diasak pemain Borussia Dortmund FC, Coulibaly (kiri) pada perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim hari ini. - Foto BERNAMA

Dalam aksi persahabatan itu JDT sering ditekan dengan corak permainan tersusun kelab dari Jerman itu. Malah pasukan itu hampir menambah jaringan pada minit ke-24. Mujur bola rembatan leret Malen hanya sipi terkeluar ketika Farizal sudah tertewas.

Gol kedua Dortmund menjelma pada minit ke-31 selepas bola umpanan Jayden Braaf membuka ruang buat Malen yang bertindak merembat bola leret tepat ke penjuru kanan menewaskan Farizal untuk meletakkan skuad Terzic selesa mendahului 2-0.

Namun kejutan dilakukan JDT pada minit ke-40 apabila Soumaila Couibaly gagal melakukan umpanan menyaksikan Arif Aiman Hanapi merampas bola dan bertindak secara solo menyusup masuk ke dalam kotak penalti sebelum merembat bola leret tepat ke penjuru kanan gol menewaskan Alexander Meyer.

Pemain JDT, Arif Aiman Mohd Hanafi (kanan) melakukan sepakan ketika menentang pasukan Borussia Dortmund FC, pada perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim hari ini. - Foto BERNAMA
Pemain JDT, Arif Aiman Mohd Hanafi (kanan) melakukan sepakan ketika menentang pasukan Borussia Dortmund FC, pada perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim hari ini. - Foto BERNAMA

Bersambung babak kedua, Dortmund terus menggandakan asakan dalam usaha menambah jaringan tapi sukar untuk menembusi benteng JDT yang beraksi padu.

Bagaimanapun, kelab Jerman itu bijak menghukum kealpaan benteng JDT apabila mudah menjaringkan gol pada minit ke-59 selepas bola umpanan Moritz Broschinski membolehkan Ole Pohlmann menggelecek pertahanan tuan rumah sebelum merembat bola menewaskan Farizal.

Pemain JDT, Arif Aiman Mohd Hanafi (tiga, kiri) cuba melepasi pemain pasukan Borussia Dortmund FC, pada perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim hari ini. - Foto BERNAMA
Pemain JDT, Arif Aiman Mohd Hanafi (tiga, kiri) cuba melepasi pemain pasukan Borussia Dortmund FC, pada perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim hari ini. - Foto BERNAMA

Malang buat Akhyar Rashid yang sepatutnya mampu merapatkan jurang gol pada minit ke-63, namun ketika hanya berdepan Meyer gagal melakukan penyudah tepat selepas merembat bola terkena penjaga gol Dortmund.

Skuad The Black and Yellow itu terus menambah derita JDT pada minit ke-69 apabila Samuel Bamba yang menyusup masuk ke dalam kotak penalti dan bertindak menggelecek Corbin Ong sebelum merembat bola kencang menewaskan Farizal untuk meletak pasukan pelawat dengan jaringan 4-1 dan kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Berita Harian X