Khamis, 24 November 2022 | 7:11pm
Aksi pemain AMD A (kiri) dan AMD B pada perlawanan Kejohanan Piala Pra U 2022. NSTP/Mohd Rafi Mamat
Aksi pemain AMD A (kiri) dan AMD B pada perlawanan Kejohanan Piala Pra U 2022. NSTP/Mohd Rafi Mamat

AMD B mangsa kedua AMD A

KUANTAN: Akademi Mokhtar Dahari (AMD) 'A' tidak berhadapan masalah untuk menewaskan AMD 'B' 2-0 pada perlawanan kedua saingan bolasepak Kejohanan Piala Pra U 2022, di sini malam tadi.

Skuad bimbingan S Veloo tidak perlu menunggu lama untuk mendahului lawan menerusi gol pertama seawal minit ke-16 oleh penyerang lincah Muhammad Farish Daniel Mohd Fahima.

Penantian gol kedua AMD 'A' dijelmakan pada minit ke-53 oleh Muhammad Nazirul Aziem Zamzuri yang bijak memperdayakan pertahanan sebelum percubaannya menggegarkan gawang lawan.

Bagi S Veloo, dia berpuas hati dan berbangga dengan kejayaan kedua berturut-turut pasukan bimbingannya selepas menewaskan pasukan Akademi Bolasepak FELDA (ABF) 1-0.

"Saya berharap kemenangan kedua ini menjadi pembakar semangat pemain untuk merangkul kejuaraan musim ini yang dianggap lebih mencabar dan memerlukan kesungguhan semua pemain.

"Saya memuji kesebelasan pemain yang diturunkan apabila dapat mengikut corak permainan yang dirancang serta diarahkan," katanya.

Sementara itu, bagi Muhammad Farish Daniel, dia akan berusaha memburu jaringan pada perlawanan selepas ini, dalam usaha membantu pasukan merangkul kejuaraan.

"Selepas gagal menjaringkan gol pada perlawanan pertama, hari ini saya akhirnya mendapat sentuhan gol yang dinantikan," katanya.

Pada perlawanan lain, ABF bangkit daripada kekalahan pertama dengan menewaskan Malaysia University Football Team (Muft) 2-1.

Berita Harian X