Sabtu, 8 Oktober 2022 | 12:31am
Pemain Sri Pahang FC, Muslim Ahmad, diasak pemain Johor Darul Ta'zim, Corbin Ong pada saingan Liga Super 2022, di Stadium Darul Makmur. NSTP/FARIZUL HAFIZ AWANG
Pemain Sri Pahang FC, Muslim Ahmad, diasak pemain Johor Darul Ta'zim, Corbin Ong pada saingan Liga Super 2022, di Stadium Darul Makmur. NSTP/FARIZUL HAFIZ AWANG

Sri Pahang ikat JDT

KUANTAN: Sri Pahang FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) berkongsi satu mata selepas terikat 0-0 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.

Aksi yang tertangguh selama 95 minit itu jelas menjejaskan rentak permainan buat kedua-dua pasukan yang sepatutnya bermula pada jam 9 malam.

Namun, perlawanan itu hanya bermula jam 10.35 malam, selepas berpuas hati dengan keadaan padang.

Pada perlawanan itu, hanya satu percubaan berbahaya dimiliki JDT pada separuh masa pertama menerusi Fernando Martin tetapi bola sepakan penyerang import itu berjaya diselamatkan penjaga gol tuan rumah, Mamadou Samassa pada minit ke-26.

Selepas itu, bola lebih banyak berlegar di tengah padang dan corak permainan berhati-hati dipersembahkan kedua-dua pasukan.

Beraksi dalam hujan dan keadaan padang becak ternyata menjejaskan rentak permainan hingga gagal untuk membolosi gawang lawan masing-masing.

Bersambung babak kedua, skuad Harimau Selatan lebih banyak menguji pertahanan skuad Tok Gajah yang terpaksa bekerja keras untuk menyelamatkan keadaan.

Pada minit ke-51, Martin hampir menjaringkan gol pendahuluan buat JDT tetapi bola tendangan berjaya ditanduk keluar pemain pertahanan, Sherzod Fayziew.

Tuan rumah turut berusaha untuk melepasi kubu lawan tetapi mudah disekat dan kedua-dua pasukan akhirnya akur apabila mengutip satu mata selepas seri tanpa jaringan sepanjang tempoh 90 minit perlawanan.

Berita Harian X