Jumaat, 7 Oktober 2022 | 11:17pm
Keadaan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi berikutan hujan lebat. NSTP/Mohd Amin Jalil
Keadaan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi berikutan hujan lebat. NSTP/Mohd Amin Jalil

Aksi NSFC-Kedah FC ditunda malam esok

SEREMBAN: Perlawanan Liga Super antara Negeri Sembilan FC (NSFC) dengan Kedah Darul Aman (KDA) FC, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, ditangguhkan susulan keadaan padang dipenuhi air.

Komisioner Perlawanan, M Elagkoven berkata, keadaan padang itu didapati tidak sesuai diadakan perlawanan.

"Perlawanan malam ini antara Negeri Sembilan dengan Kedah Darul Aman ditunda ke esok akibat cuaca buruk.

"Perlawanan akan diadakan esok di gelanggang yang sama bermula jam 8.15 malam.

"Saya dimaklumkan oleh pengadil perlawanan, Mohd Sabri Mat Daud bahawa keadaan padang yang ditakungi air tidak sesuai diadakan perlawanan pada malam ini, " katanya ketika ditemui.

Aksi yang sepatutnya bermula jam 9 malam, tertangguh apabila sehingga jam 10.30 malam, masih hujan dan keadaan padang dipenuhi air.

Pertembungan kedua-dua pasukan menjadi tumpuan kerana masing-masing memerlukan kemenangan selepas tewas kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam perlawanan sebelum ini.

Negeri Sembilan yang kini berada di tempat keempat carta menyasarkan tiga mata dalam usaha mereka untuk mengisi slot Piala AFC musim depan.

Berita Harian X