Jumaat, 7 Oktober 2022 | 9:51pm

Sabah belasah Pulau Pinang di Likas

KOTA KINABALU: Misi Sabah untuk menundukkan Pulau Pinang FC bagi mengubat dua kekalahan berturut-turut aksi Liga Super sebelum ini tercapai dengan kemenangan 4-1 di Stadium Likas, sebentar tadi.

Dengan kemenangan ke atas Pulau Pinang, Sabah menambah tiga mata kepada 39 mata di tangga kedua carta liga, namun kedudukannya masih dieekori rapat Terengganu FC yang berada di tangga ketiga.

Kemenangan Sabah FC di laman sendiri itu juga dapat menggembirakan penyokong skuad Sang Badak memandangkan ia adalah perlawanan terakhir Liga Super musim ini di Stadium Likas.

Gol pertama Sabah hadir pada minit ke-32 hasil tandukan kapten pasukan, Badrol Bakhtir yang menerima hantaran lintang Alto Linus di hadapan gawang Pulau Pinang.

Pasukan pelawat yang ketinggalan 1-0 kemudian melakukan serangan balas dan hampir berpeluang menjaringkan gol pada minit ke-35, namun digagalkan penjaga gol Sabah, Khairul Fahmi Che Mat yang berjaya mendakap kemas bola.

Malang bagi Pulau Pinang terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas penyerang importnya, Rafael Vitor dilayangkan kad merah kerana mengasari pemain Sabah, Saddil Ramdani pada minit ke-42.

Bersambung babak kedua, Pulau Pinang mengejutkan Sabah apabila berjaya menyamakan kedudukan 1-1 hasil jaringan Adib Abdul Ra'op pada minit ke-70.

Namun, kegembiraan Pulau Pinang hanya seketika apabila pemain import Sabah, Park Taesu berjaya menambah gol kedua Sang Badak melalui tandukannya, kira-kira dua minit kemudian.

Sabah kemudian mengukuhkan kedudukan menerusi gol ketiga pada minit ke-78 hasil sepakan penalti yang diberikan pengadil apabila seorang pemain tuan rumah, N Thanabalan dijatuhkan pemain lawan di kawasan kotak penalti Pulau Pinang.

Kedudukan 3-1 itu sudah cukup baik untuk Sabah memenangi perlawanan ketika aksi sudah di penghujung permainan, tetapi pemain Sabah masih belum puas untuk menambah derita Pulau Pinang.

Hasilnya, Sabah berjaya menambah gol keempat melalui jaringan Stewart John Wilkin pada minit ke-88 menjadikan kedudukan 4-1 dan kekal hingga ke wisel penamat.

Pemain Sabah FC, Saddil Ramdani menjaringkan gol ketiga pasukannya ketika menentang Penang FC dalam saingan Liga Super di Stadium Likas. NSTP/MOHD ADAM ARININ
Pemain Sabah FC, Saddil Ramdani menjaringkan gol ketiga pasukannya ketika menentang Penang FC dalam saingan Liga Super di Stadium Likas. NSTP/MOHD ADAM ARININ
Berita Harian X