Jumaat, 7 Oktober 2022 | 9:11pm
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp berharap pasukannya akan kembali berada di tahap terbaik menentang Arsenal. - EPA
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp berharap pasukannya akan kembali berada di tahap terbaik menentang Arsenal. - EPA

Liverpool perlu 'sukar diramal' sekali lagi

LONDON: Pengurus Liverpool, Juergen Klopp berkata pasukannya mesti menjadi sukar diramal untuk kembali ke rentak kemenangan, ketika naib juara Liga Perdana dan Liga Juara-Juara itu mahu pulih daripada permulaan buruk dalam kempen kali ini.

Liverpool mencabar empat kejuaraan musim lalu menerusi gaya serangan menarik, namun mereka bergelut untuk mengulangi prestasi itu dan berkedudukan kesembilan liga selepas hanya menang dua daripada tujuh aksi setakat ini.

Persembahan hambar itu menyebabkan Klopp meletakkan empat pemain di bahagian serangan membabitkan Mohamed Salah, Diogo Jota, Luis Diaz dan Darwin Nunez berdepan Rangers dalam Liga Juara-Juara dan mencatat kemenangan 2-0.

Klopp masih berhati-hati daripada berkata bahawa dia sudah menemui penyelesaian kepada masalah Liverpool tetapi menegaskan kebolehan pasukan menukar sistem boleh menjadikan ia lebih sukar buat lawan, bermula dengan pertembungan dengan pendahulu liga, Arsenal Ahad ini.

"Adalah penting kami menjadi sukar diramal sekali lagi, jadi kami perlukan sistem berbeza," kata Klopp hari ini. "Kami tidak mahu menjadikan ia lebih rumit tetapi ia diperlukan bagi mencari yang terbaik untuk lawan seterusnya dan kami juga.

"Pasukan lain sudah berjaya mencari jalan bagaimana untuk menentang kami apabila kami tidak berada di tahap terbaik... Tiada sistem dalam dunia yang tiada kelemahan. Ia semuanya mengenai bagaimana kami beraksi dan apa yang kami lakukan dengan penuh intensiti.

"Kami masih mencari jalan penyelesaian. Jadi anda tidak boleh kata kami sudah kembali, kami perlu konsisteen. Saya tidak berminat kepada jangka pendek. Kami perlu bagus hingga kami menjadi pasukan yang menakjubkan."

Klopp turut memuji Arsenal dan pengurus mereka, Mikel Arteta selepas persembahan baik kelab utara London itu setakat musim ini dan berharap boleh "mendatangkan masalah buat mereka" di Stadium Emirates. - REUTERS

Berita Harian X