Jumaat, 7 Oktober 2022 | 8:05pm
Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, VP Shanmugam (berdiri tengah) ketika pelancaran Malaysia Little League 2022 Peringkat Negeri Melaka. - NSTP/NAZRI ABU BAKAR
Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, VP Shanmugam (berdiri tengah) ketika pelancaran Malaysia Little League 2022 Peringkat Negeri Melaka. - NSTP/NAZRI ABU BAKAR

Lebih 2,000 sertai Malaysia Little League 2022

MELAKA: Lebih ramai pemain berbakat dalam sukan bola sepak bakal dicungkil sempena penganjuran Malaysia Little League 2022 Peringkat Negeri Melaka pada 12 dan 13 Oktober ini.

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, VP Shanmugam berkata, penyertaan pemain bawah 16 dan 12 tahun pada pertandingan berkenaan mampu menjadi pemangkin peningkatan kualiti permainan selain medan mereka menikmati saingan kompetitif.

Katanya, program berkenaan membabitkan kira-kira 2,016 murid, pelajar dan pengawai menerusi anjuran Jabatan Belia dan Sukan (JBS) bersama rakan strategik, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka.

Menurutnya, kerjasama erat penganjuran dan pembabitan pemain muda berbakat mampu mengubah landskap bola sepak di negeri berkenaan dengan harapan lebih ramai bintang berkaliber akan dibentuk dalam sukan itu kelak.

Beliau berkata, pertandingan hasil cetusan idea Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, itu mampu terus menjadi pentas pembangunan sukan bola sepak yang lebih positif di Melaka malah Malaysia.

"Program ini salah satu usaha kerajaan dalam membudayakan aktiviti sihat dan cergas kepada keluarga Malaysia bermula dari akar umbi ke arah negara bersukan.

"Malah pelaksanaan liga bakat bola sepak terbabit turut menjadi pentas pembangunan kemahiran kepada pemain selain pengurus dan jurulatih daripada setiap penyertaan," katanya semasa Pelancaran Malaysia Little League 2022 Peringkat Negeri Melaka di Stadium Hang Tuah.

Hadir sama, Pengarah JBS Negeri Melaka Khairul Adri Rosli dan Exco Wanita Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah.

Jelasnya, dalam pada itu JBS Melaka turut memberi penekanan menerusi penganjuran pelbagai konsep alternatif untuk menggalakkan lebih ramai rakyat di Negeri Melaka dari pelbagai peringkat untuk terus mengamalkan aktiviti sukan dan kecergasan.

Berita Harian X