Jumaat, 7 Oktober 2022 | 7:24pm
Aksi skuad negara ketika berdepan UAE di di Stadium Pakansari, Bogor, Indonesia. Gambar ihsan FAM
Aksi skuad negara ketika berdepan UAE di di Stadium Pakansari, Bogor, Indonesia. Gambar ihsan FAM

Skuad muda negara kejutkan UAE

KUALA LUMPUR: Skuad bawah 16 (B-16) tahun negara menghidupkan peluang untuk ke pusingan akhir Piala Asia B-17 2023 apabila mengejutkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 3-2 di Stadium Pakansari, Bogor, Indonesia, sebentar tadi.

Anak buah Osmera Omaro yang turun dengan misi wajib menang berjaya mendahului UAE hasil jaringan Arami Wafiy Mohamad Zakimi dalam masa kecederaan babak pertama.

Muhammad Anjasmirza Saharudin kemudian mengukuhkan kedudukan buat skuad muda negara apabila meledak gol selepas enam minit babak kedua bersambung.

Skuad negara bagaimanapun berdepan detik cemas apabila UAE bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan Saeed Amer Mohammad dan Abdulaziz Mohamed Almarzooqi pada minit ke-76 dan 84.

Ketika perlawanan seakan bakal berakhir dengan keputusan seri, Faris Danish muncul wira Malaysia apabila dia menyumbang gol kemenangan pada masa kecederaan.

Kemenangan itu menjadi pengubat duka buat skuad negara selepas sekadar seri 1-1 berdepan Guam, Rabu lalu yang menyaksikan mereka terlepas mata penting.

Seterusnya, skuad negara perlu menewaskan tuan rumah, Indonesia dalam aksi terakhir Kumpulan B di gelanggang sama, Ahad ini untuk muncul juara kumpulan dan meraih slot ke pusingan akhir tahun depan.

Kejayaan menundukkan UAE meletakkan Malaysia di kedudukan teratas kumpulan dengan mengumpul tujuh mata, namun kedudukan itu boleh berubah sekiranya Indonesia mengutip mata berdepan Palestin, malam ini.

Berita Harian X