Jumaat, 7 Oktober 2022 | 4:51pm
Stuart percaya perubahan format Piala Malaysia mampu tingkatkan lagi nilai pertandingan.
Stuart percaya perubahan format Piala Malaysia mampu tingkatkan lagi nilai pertandingan.

Perubahan format Piala Malaysia bukan 'syok sendiri'

KUALA LUMPUR: Perubahan format Piala Malaysia bagi musim 2022 bukanlah kerana 'syok sendiri', namun Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berhasrat untuk meningkatkan lagi nilai pertandingan itu selain dapat ditamatkan sebelum kontrak pemain berakhir pada 30 November.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Stuart Ramalingam juga tidak menolak kemungkinan aksi tanpa peringkat kumpulan seperti yang diperkenalkan pada musim ini akan diteruskan pada musim mendatang selepas pertambahan perlawanan Liga Super 2023.

Jelasnya, perubahan format itu menjanjikan saingan Piala Malaysia yang lebih berkualiti memandangkan setiap pasukan hanya mempunyai dua perlawanan saja pada peringkat awal untuk mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya.

"Percaturan MFL adalah untuk memastikan perlawanan Piala Malaysia dapat dilaksanakan dengan sistematik dan selamat selain berkualiti iaitu tidak hanya tertumpu kepada jumlah perlawanan semata-mata.

"Menerusi percaturan baru ini, setiap perlawanan yang diharungi pasukan adalah sangat berharga iaitu baik untuk penonton dan juga pihak penaja.

"Sudah pastinya akan meningkatkan harga perlawanan Piala Malaysia termasuklah mengurangkan kos membabitkan logistik terutama pasukan berpangkalan di Sabah dan Sarawak," katanya.

Sebagai rekod, format Piala Malaysia tahun ini diubah selepas tiada aksi peringkat kumpulan apabila setiap pasukan akan terus bertanding dalam peringkat 16 pasukan secara timbal balik, begitu juga bagi aksi suku akhir dan separuh akhir.

Susulan kejayaan juara bertahan Piala Malaysia, KL City FC layak ke final Piala AFC 2022, saingan Piala Malaysia akan membuka tirainya pada 25 dan 26 Oktober dengan final akan berlangsung di venue neutral pada 26 November.

Berita Harian X