Sabtu, 1 Oktober 2022 | 11:01pm
Pemain JDT, Leandro Velazquez meraikan jaringan gol bersama rakan pada perlawanan menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Sultan Ibrahim, Johor. NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Pemain JDT, Leandro Velazquez meraikan jaringan gol bersama rakan pada perlawanan menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Sultan Ibrahim, Johor. NSTP/NUR AISYAH MAZALAN

JDT juara buat kali kesembilan berturut-turut

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta'zim (JDT) muncul juara Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut selepas mudah membelasah Negeri Sembilan FC 5-0 pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Pengesahan kejuaraan itu milik JDT selepas Terengganu FC berjaya menewaskan pencabar terdekat, Sabah FC 2-0 pada aksi di Stadium Sultan Mizan, Gong Badak, sebentar tadi.

Kini, skuad kendalian Hector Bidoglio hanya perlu menghabiskan baki empat perlawanan iaitu menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di Stadium Darul Aman, Selasa ini, diikuti aksi menentang Sri Pahang FC, di Stadium Darul Makmur Jumaat ini.

Kemudian skuad Harimau Selatan akan menentang semula KDA FC di Stadium Sultan Ibrahim pada 11 Oktober dan melengkapkan kempen menentang Sabah FC di laman sendiri pada 15 Oktober.

Kesemua perlawanan itu penting buat JDT bagi mempertahankan rekod tanpa kalah mereka musim ini.

Pada perlawanan menentang skuad kendalian K Devan, skuad Harimau Selatan memulakan rentak kemenangan menerusi gol pada minit ke-35 apabila Arif Aiman Hanapi bijak menyusup masuk ke dalam kotak penalti sebelum merembat bola hantaran Leandro Velazquez ke penjuru kanan menewaskan Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Selang dua minit kemudian, Negeri Sembilan terkedu dengan gol kedua JDT selepas Velazquez yang mengambil sepakan percuma dari jarak 25 meter melakukan sepakan lencong tepat ke penjuru kanan menewaskan Ahmad Syihan.

Memasuki babak kedua, berpunca daripada kesilapan pemain pelawat, Nasrullah Haniff Johan yang cuba mengumpan bola kepada Zulkhairi Zulkefly pada minit ke-49 menyaksikan Ariff Aiman pantas merampas bola dan mudah menolak masuk ketika hanya berdepan dengan Ahmad Syihan.

JDT terus menambah derita skuad Hobin Jang Hobin apabila gawang mereka dirobek lagi oleh barisan serangan skuad Harimau Selatan pada minit ke-61 selepas Arif Aiman bijak memperdayakan Khair Jones sebelum menolak bola ke belakang buat Bergson da Silva yang tidak dikawal merembat bola leret menewaskan Ahmad Syihan.

Ternyata JDT enggan memberi muka kepada Negeri Sembilan apabila terus menambah jaringan kelima pada minit ke-88 menerusi Bergson yang menyudahkan umpanan pemain gantian Mohamadou Sumareh.

Berita Harian X