X
Khamis, 22 September 2022 | 3:16pm
Selangor FC ketika ini dikendali sementara oleh penolong jurulatih, Nidzam Jamil. - Foto NSTP
Selangor FC ketika ini dikendali sementara oleh penolong jurulatih, Nidzam Jamil. - Foto NSTP

Bekas pengendali Harimau Malaya bimbing Selangor FC

KUALA LUMPUR: Gergasi bola sepak tempatan, Selangor FC (SFC) bertindak pantas apabila sudah mencapai persetujuan dengan bekas jurulatih skuad kebangsaan untuk menjadi 'nakhoda' baharu pasukan itu.

Sumber mengesahkan bekas jurulatih kebangsaan itu sememangnya menjadi pilihan yang terbaik dalam misi 'mengejutkan' semula The Red Giants yang tampak 'terkulai' dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Sumber turut menjelaskan khabar gembira itu akan diumumkan secara rasmi pada minggu depan namun individu itu tidak akan 'goyang kaki' kerana perlu terus membimbing pasukan untuk mengharungi kempen Piala Malaysia musim ini.

"Beberapa calon jurulatih sudah dikenal pasti dan dibuat penilaian bagi jawatan ketua jurulatih dan persetujuan dicapai untuk mendapatkan khidmat jurulatih berkenaan.

"Tempoh berapa lama perjanjian dan sama ada muka baharu bakal dibawa masuk akan dimaklumkan dalam pengumuman rasmi, Isnin nanti.

"Bukan itu sasaran (Piala Malaysia) yang diletak ke atas dirinya, perlu bagi ruang dan peluang dia membuktikannya," kata sumber terbabit.

Terdahulu, beberapa nama jurulatih dikaitkan untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Michael Feichtenbeiner yang kembali pada tugasnya sebagai Pengarah Sukan SFC selepas tidak lagi menjadi jurulatih pasukan utama.

Situasi itu menyaksikan penolong jurulatih, Nidzam Jamil dilantik sebagai jurulatih interim pasukan itu.

Berita Harian X