Sabtu, 20 Ogos 2022 | 10:00pm
Penyokong Selangor meluahkan kemarahan mereka menerusi sepanduk yang dipaparkan ketika aksi menentang TFC, Rabu lalu.
Penyokong Selangor meluahkan kemarahan mereka menerusi sepanduk yang dipaparkan ketika aksi menentang TFC, Rabu lalu.

Bukti 'kejatuhan' empayar bola sepak Selangor

KUALA LUMPUR: Adakah 'dejavu' musim 2018 akan kembali 'menghantui' Selangor FC (SFC) pada musim ini sekali gus berdepan prospek bakal menamatkan saingan Liga Super dalam kedudukan terburuk dalam tempoh empat tahun?

Skuad The Red Giants kini bagaikan 'dilanggar' garuda selepas semakin lama, semakin terperosok dan selepas mengharungi 14 perlawanan, amat mengejutkan apabila mereka berada di tangga kesembilan Liga Super.

Dengan hanya empat kemenangan dan empat keputusan seri daripada 14 perlawanan, skuad yang dibimbing jurulatih sementara, Nidzam Jamil itu menghimpun 16 mata - 22 mata ketinggalan di belakang pendahulu, Johor Darul Ta'zim (JDT).

Situasi sama pernah dilalui SFC pada musim 2018 di mana pada peringkat yang sama selepas 14 perlawanan, mereka ketika itu berada pada kedudukan kesembilan namun berjaya menamatkan liga satu anak tangga lebih baik iaitu di kedudukan kelapan.

Tetapi dengan masalah prestasi yang tidak konsisten dilakar pemain SFC khususnya menerusi tiga kekalahan berturut-turut ketika ini, misi untuk mendaki ke tangga lebih baik tampak kian sukar meskipun secara matematiknya, ia boleh dilakukan.

Apa yang menyedihkan, label SFC sebagai 'gergasi' bola sepak tempatan juga sudah 'tercabut' kerana berdasarkan rekod, hanya sekali mereka meraih penamat dalam kelompok tiga terbaik sejak muncul naib juara pada musim 2015.

Mereka kini sekadar menjadi pasukan pertengahan liga dan sekalipun realiti ini pahit untuk ditelan, pencapaian sejak musim 2016 sehingga 2021 menjadi bukti kepada 'kejatuhan' empayar bola sepak Selangor.

Pada musim 2016, mereka berada di tangga kelima (28 mata) manakala musim 2017 pula, mereka berada pada kedudukan kelima selepas 14 perlawanan namun menamatkan liga pada kedudukan keenam (33 mata).

Nombor lapan pada musim 2018, 'bau-bau' kebangkitan diperagakan apabila mereka berjaya meraih kedudukan ketiga pada musim 2019 (37 mata) dan musim 2020 yang berlangsung sepusingan menyaksikan mereka berada pada tangga kelima.

Musim lalu, mereka berada pada tangga kelima selepas 14 perlawanan dan kedudukan itu 'konsisten' sehingga penghujung musim dengan pungutan 36 mata sekali gus menyaksikan Misi ke Asia sekali lagi lebur.

Bukan mahu merendahkan kemampuan SFC tetapi berdasarkan penilaian secara mata kasar untuk pencapaian mereka dalam beberapa tahun ini, ia sama sekali tidak menggambarkan mereka sebagai pasukan berstatus 'gergasi'.

Persoalan besar yang harus dijawab selepas berakhirnya musim 2022 sekiranya mereka sekali lagi tangan kosong, di manakah silapnya apabila 'demam' Gergasi Merah belum lagi kebah?

Berita Harian X