Jumaat, 19 Ogos 2022 | 8:59pm
Bergson diasak tiga pemain Urawa Red Diamonds pada aksi pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara di Tokyo hari ini.
Bergson diasak tiga pemain Urawa Red Diamonds pada aksi pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara di Tokyo hari ini.

JDT kena belasah 5-0

KUALA LUMPUR: Hasrat Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk menempa satu lagi sejarah mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022 tidak kesampaian apabila dibelasah wakil Jepun, Urawa Reds Diamonds 5-0 pada aksi pusingan 16 terbaik di Stadium Saitama, sebentar tadi.

Skuad Harimau Selatan berdepan cabaran besar untuk menyaingi juara Asia dua kali itu selepas dibolosi dua gol menerusi sepakan penalti dan sepakan percuma hanya dalam tempoh 20 minit pertama.

Jelas kedudukan Urawa Reds yang terkenal dengan julukan 'Red Devils' yang ketika ini menghuni tangga ketujuh Liga J bukanlah satu ukuran kepada kemampuan sebenar mereka untuk turun menentang JDT yang juga pendahulu Liga Super.

Apapun, pencapaian JDT sebagai pasukan pertama dari Malaysia layak ke pusingan 16 terbaik saingan elit itu sudah dianggap sebagai satu sejarah yang patut dibanggakan.

Permulaan baik ditampilkan JDT apabila mereka berjaya menghantar amaran awal menerusi percubaan jauh Arif Aiman Hanapi pada minit kedua yang 'menggetarkan' tangan penjaga gol Urawa Reds Diamonds, Shusaku Nishikawa.

Namun 'panas tidak sampai ke petang' apabila rentak positif itu direncatkan selepas Urawa Reds Diamonds dihadiahkan sepakan penalti pada minit keenam susulan kekasaran Farizal Marlias ke atas Yusuke Matsuo.

Pertahanan, Alexander Scholz yang ditugaskan mengambil sepakan penalti tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan peluang keemasan yang dimiliki sekali gus meletakkan mereka di depan dengan 1-0.

Gawang JDT 'bocor' lagi pada minit ke-18, kali ini menerusi sepakan percuma menarik daripada Jens Karlsson yang sempat 'mencium' palang sebelum menewaskan Farizal buat kali kedua dalam perlawanan itu.

Berkelebihan dua gol, Urawa Reds belum mahu mengendurkan asakan dan terus berpesta apabila menambah gol ketiga menerusi Karlsson pada minit ke-39.

Bersambung babak kedua, JDT tampil dengan lebih baik namun pemain gantian Urawa Reds, Kasper Junker menambah derita JDT dengan dua lagi gol (m86) dan (m90) untuk menjadikan kedudukan 5-0.

Berita Harian X