Sabtu, 13 Ogos 2022 | 10:18pm
Feroz Baharuddin gembira selepas menjaringkan gol buat JDT II pada aksi menentang Perak FC dalam saingan Liga Perdana di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang, sebentar tadi. Foto ihsan Johor Southern Tigers.
Feroz Baharuddin gembira selepas menjaringkan gol buat JDT II pada aksi menentang Perak FC dalam saingan Liga Perdana di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang, sebentar tadi. Foto ihsan Johor Southern Tigers.

JDT II kecewakan Perak

PASIR GUDANG: Johor Darul Ta'zim II (JDT II) mengekalkan kedudukan di tangga kedua selepas menang tipis 1-0 menewaskan Perak FC pada aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang, di sini sebentar tadi.

Ia kemenangan bermakna buat skuad kendalian Marion Echeverria selepas hanya mampu mencatatkan keputusan seri pada tiga aksi lalu dan masih tetap mengekori Kelantan FC yang kekal di tangga teratas dengan mengumpul 35 mata dan dipisahkan lima mata dengan JDT II.

Pada aksi itu, kedua-dua pasukan mempamerkan aksi berintensiti tinggi dengan masing-masing menyusun strategi untuk memburu gol dan percubaan Perak FC menerusi sepakan percuma Wan Zack Haikal Wan Nor pada minit ke-13 terus ke dakapan penjaga gol, Mohamad Rozaimi Rahamad.

Peluang terbaik tuan rumah membuka tirai jaringan hadir pada minit ke-19 selepas bola sepakan lintang Levy Madinda namun Guilherme De Paula yang berada di posisi terbaik gagal menyambar bola untuk melakukan penyudah tepat.

Walaupun mempertaruhkan De Paula mengemudi jentera serangan buat JDT II tapi kelibat pemain naturalisasi itu sepanjang babak pertama nyata tidak berfungsi apabila gagal memperaga aksi terbaik malah langsung tidak terbabit dalam usaha memburu gol.

Ketika aksi babak pertama memasuki minit kecederaan, JDT II akhirnya memecah kebuntuan selepas bola sepakan percuma Moussa Sidibe tepat kepada Feroz Baharuddin yang sempat menampan bola menewaskan penjaga gol, Zamir Selamat.

Bersambung babak kedua, skuad kendalian Yusri Che Lah yang tersentak dengan gol tuan rumah tampak mula mengatur serangan bagi memburu gol penyamaan tapi gandingan Feroz dan Junior Eldstal ampuh mengemudi benteng pertahanan.

Persembahan lesu yang dipamerkan De Paula menyaksikan Eccheverria mengambil keputusan untuk menggantikan pemain itu pada minit ke-62 dan memasukkan Gabriel Nistelrooy Anak Tamin bagi menguatkan semula jentera serangan dan kedudukan 1-0 kekal hingga tamat perlawanan.

Berita Harian X